SPDP tuntut pilihanraya kecil untuk Parlimen Saratok


Sarawak People's Democratic Parti (SPDP) membantah penyertaan Tan Sri William Mawan dalam 2 kerusi yang telah dipertandingkan. Mawan sebelum ini telah memenangi kerusi Parlimen Saratok atas tiket SPDP dan terbaru ADUN Pakan atas tiket calon terus Barisan Nasional.

SPDP melalui jurucakap parti telah menggesa Mawan agar berundur daripada kerusi Parlimen kerana ketika itu Mawan bertanding atas tiket parti SPDP. Oleh itu SPDP menagih kembali kerusi tersebut kerana SPDP berhak mengambil kembali kerusi tersebut memandangkan Mawan bukan lagi ahli SPDP.

Menurut jurucakap tersebut, tidak adil bagi SPDP kerana sejak sekian lama Parlimen berkenaan telah menjadi kerusi kuat parti itu.

Justeru pelbagai gesaan telah dibuat di setiap peringkat kepimpinan SPDP terhadap Mawan agar Parlimen tersebut dikosongkan bagi memberi ruang Parlimen tersebut kembali kepada SPDP.

Jika gesaan tersebut memaksa Mawan berundur, kemungkinan Parlimen Saratok akan diadakan Pilihanraya kecil bagi mengisi kekosongan.

Beberapa pemimpin akar umbi SPDP telah membuat gesaan terbuka meminta Mawan segera mengosongkan kerusi Parlimen Sarawak.

"Kerusi Saratok sentiasa menjadi milik kita, jadi ia mesti dikembalikan kepada kami. Malah, kami sudah bersedia untuk pilihan raya kecil untuk Saratok kerana itu adalah apa yang dijanjikan kepada kami," kata Ketua Pemuda SPDP Robert Ayu dan Ketua Wanita Datuk Chew Yen Chiew dalam satu kenyataan bersama awal minggu ini.

Hingga kini, Mawan belum membuat sebarang reaksi terhadap desakan tersebut.

Difahamkan, bantahan itu tidak sekadar di media, malah akan dipanjangkan ke Pengerusi Barisan Nasional Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. - Sarawakiana

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget