Chong mahu SPR jawab isu perpindahan pengundi Batu Kawa



KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen semalam mendedahkan bahawa pemimpin parti itu menerima panggilan daripada pengundi berdaftar mendakwa nama mereka ditukar ke pusat pengundian lain tanpa pengetahuan semasa Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) lalu.

Beliau berkata insiden itu berlaku di pusat pengundian SJK Chung Hua Stapok yang terletak di bawah daerah mengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah.

Sambil menunjukkan salinan ‘kertas skor’ untuk Batu Kawah, Chong pada sidang media semalam berkata terdapat hanya tujuh saluran di SJK Chung Hua Stapok pada PRN11 berbanding 12 saluran semasa Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013 bagi konstituensi Parlimen Stampin.

Ujarnya ratusan pengundi berdaftar terjejas daripada lima saluran mengundi telah ditukar ke tempat lain di konstituensi lain, justeru memberi kesan kepada jumlah pengundi memilih DAP di Batu Kawah disebabkan trend mengundi memihak kepada parti pembangkang di pusat pengundian itu (65 peratus kepada DAP pada 2013 dan 60 peratus kepada DAP tahun ini).

“Saya tidak mahu membuat spekulasi apa yang berlaku. Biarlah Suruhanjaya Pilihan Raya memberi penjelasan mengenai pertukaran pusat pengundian pengundi-pengundi berdaftar,” katanya.

Pada PRN11 7 Mei lalu, calon DAP Christina Chiew gagal mempertahankan kerusi Batu Kawah yang dimenanginya pada PRN10 (2011).

Chiew kalah kepada calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian yang menang dengan majoriti 2,085 undi dalam pertarungan tiga penjuru yang turut melibatkan calon Bebas Liu Thian Leong.

Dr Sim yang juga presiden SUPP kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dalam barisan Kabinet Negeri Sarawak baharu yang diumumkan Jumaat lepas.

Oleh itu Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching meminta pengundi berdaftar yang mendapati nama mereka ditukar ke pusat pengundian lain, agar pergi pejabat SPR untuk mendaftar semula mengikut alamat mereka seperti di dalam kad pengenalan (MyKad).

Beliau juga mengalu-alukan pengundi berdaftar terlibat datang ke pejabat DAP untuk memberi bukti kepada parti mengenai perkara ini semasa PRN lalu.

“DAP dalam waktu terdekat ini akan melancarkan kempen mendaftar pengundi dari pintu ke pintu, rumah ke rumah dan kedai ke kedai. Marilah kita bermula dari sekarang untuk menyelesaikan masalah pertukaran tempat mengundi pengundi berdaftar,” ujarnya.

Beliau berkata parti menerima satu aduan daripada pengundi baharu, berusia 42 tahun (lelaki) yang tinggal di Tapah, Jalan Kuching-Serian, mendapati beliau didaftar sebagai pengundi Bukit Kota di Limbang, tempat beliau bekerja.

“Kami, saya, Christina Chiew dan YB DAP lain menerima banyak panggilan semasa kempen PRN lalu dan hari mengundi tetapi ketika itu kami tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget