GEORGETOWN - Sudah masuk hari ketiga berkempen tetapi tidak merasa kemeriahan seperti PRK yang lain.
'PRK sejuk' - itu kata calon Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan ketika diminta mengulas suasana pilihan raya yang sedang berlangsung sekarang ini.
Beliau berkata, PRK kali ini kurang meriah kerana tidak banyak bendera atau sepanduk menghiasi tepi jalan sekitar kawasan Parlimen Bukit Gelugor.
“Cuba kita lihat sekitar kawasan Air Itam ini pun tidak banyak bendera yang dipasang. Bukan sahaja dari parti atau calon lain, PCM juga tidak ghairah memasangnya.
“Bukan itu sahaja, ada penduduk yang saya jumpa tidak tahu pun ada PRK di kawasan ini. Hal ini mungkin kerana mereka tidak beli surat khabar atau menonton berita, jadi saya pun menerangkan kepada mereka,” katanya kepada media selepas bertemu dengan peniaga-peniaga Pasar Farlim, di sini, semalam.
Bagaimanapun, PCM akan berkempen dengan menghantar risalah dan manifesto ke setiap rumah di Bukit Gelugor selain bertemu penduduk di pasar dan rumah.
Katanya, PCM sudah melancarkan manifesto bertemakan cintai Pulau Pinang kelmarin yang akan diedarkan ke setiap rumah melalui jentera pilihan raya.
“Setakat ini, kita mempunyai lebih 100 ahli yang turut berkempen bersama saya. Kita belum mengadakan ceramah tetapi akan berlangsung beberapa hari lagi,” katanya.
Cheng Guan mengakui PRK itu bukan laluan mudah kerana dimenangi mendiang Karpal Singh dari DAP yang juga bapa kepada Ramkarpal pada PRU13.
“PCM adalah parti kecil dan baharu. Walaupun kawasan ini dimenangi DAP, kita tetap bekerja keras dan turun kempen untuk bertemu penduduk.
“Walaupun persaingan sengit, saya cuma berharap wang deposit tidak hilang. Itu sudah buat saya puas hati,” katanya. - sinar harian
Post a Comment