MOSTI | 1,922 Salah Laku Siber Direkod Dari Jan-Mac 2014

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Sebanyak 1,922 kes salah laku siber dilaporkan oleh pengguna internet melalui Pusat Bantuan Cyber999, CyberSecurity Malaysia, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata daripada jumlah itu penipuan siber merupakan salah laku tertinggi yang direkodkan iaitu 794 kes.

"Ia diikuti perisian berbahaya atau malware 430 kes; pencerobohan sistem dalam talian serta pencacatan laman web 401 kes; gangguan siber 143 kes; dan lain-lain 154 kes," katanya dalam ucapan pada majlis Pelancaran Kuiz Celik Cybersafe - Asuh di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Mosti Dr Zulkifli Mohamed Hashim.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Dr Amirudin Abdul Wahab dan Pengarah Urusan Galeri Ilmu Sdn Bhd Abu Hassan Morad.

Abu Bakar berkata manakala pada tahun lalu 10,636 kes salah laku siber dilaporkan oleh pengguna internet.

Mengenai majlis hari ini, Abu Bakar berkata bilangan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa ancaman keselamatan siber akan terus meningkat sekiranya pengguna internet dan masyarakat tidak diberi pendidikan awal mengenai keselamatan siber.

Justeru kerjasama yang dijalin antara CyberSecurity Malaysia dan Majalah Asuh dalam bentuk kuiz, penerbitan artikel dan mesej melalui siri pengiklanan mengenai keselamatan siber merupakan langkah pendidikan awal mengenai keselamatan siber.

"Kami berharap melalui hebahan Majalah Asuh sepanjang tahun ini, lebih banyak sekolah akan mengambil bahagian dan terlibat di dalam program CyberSafe in Schools kerana ancaman siber bukan sahaja berlaku kepada golongan dewasa tetapi juga pelajar dan kanak-kanak," katanya.- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget