Lawatan TPM Ke Uzbekistan Perkukuh Hubungan Dua Hala

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Lawatan rasmi tiga hari Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Uzbekistan, yang bermula esok, dijangka mampu mempererat dan memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar menyatakan lawatan itu memberi peluang kepada Malaysia membincangkan isu dua hala selain bertukar pendapat berhubung isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama dengan pemimpin di Uzbekistan.

"Peluang baharu perniagaan di Uzbekistan dan kemungkinan menjalin usaha sama antara dua sektor swasta di Malaysia dan Uzbekistan akan turut diteroka," kata kementerian itu dalam kenyataan di sini, Sabtu malam.

Muhyiddin akan diiringi isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, tiga anggota Parlimen, pegawai kanan kerajaan serta ahli-ahli perniagaan.

Di Tashkent, Muhyiddin akan membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Uzbekistan dan dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pengajian Tinggi dan Pendidikan Menengah Uzbekistan.

Pada 6 Mei ini, beliau akan melancarkan Pesta Pendidikan dan Pameran Kesenian Malaysia sebelum melawat Uzbek State University of World Languages di Tashkent di mana beliau akan menyampaikan buku-buku kepada para pelajar pengajian Bahasa Melayu yang ditawarkan sebagai kursus bahasa kedua.

Muhyiddin juga akan menghadiri sesi perniagaan meja bulat dengan ketua-ketua industri dari Malaysia dan Uzbekistan.

Kerajaan Uzbekistan juga akan menganjurkan majlis jamuan rasmi bagi meraikan Muhyiddin dan delegasi beliau.

Setakat ini, kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan merangkumi pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan modal insan.

Uzbekistan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Tengah dengan jumlah dagangan kedua-dua negara mencatat AS$71 juta tahun lepas berbanding AS$65 juta pada 2012.

Pada masa ini, terdapat lebih 500 penuntut Uzbek yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan kira-kira 11,000 pelancong Uzbekistan melawat negara ini tahun lepas.- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget