KUCHING - Syarikat utiliti milik Kerajaan Negeri Sarawak, Sesco Sdn Bhd boleh kerugian lebih RM200 juta dua tahun lepas, jika usul DAP agar tarif elektrik dikurangkan 30 peratus dilaksana, kata Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini.
Katanya, syarikat itu boleh muflis dan ramai warga kerjanya akan hilang pekerjaan manakala ekonomi negeri pula terjejas.
"Bukan sahaja keuntungan Sesco habis, Sesco juga akan berada dalam defisit...maksud saya kerugian sebenar lebih RM200 juta pada 2012 jika usul DAP dilaksana," katanya semasa menggulung bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri, di sini.
Beliau berkata DAP, sering mendakwa tarif elektrik di Sarawak sebagai paling tinggi di negara ini, walhal kerajaan berulang kali menjelaskan kadar itu adalah rendah berbanding yang dikenakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung sejak 2009 dan paling rendah di rantau Asia Tenggara.
Katanya, strategi kerajaan negeri memanfaatkan sumber hidro berjaya menstabilkan tarif elektrik di Sarawak.
Selain itu katanya pengguna domestik yang menggunakan bawah 100 unit sebulan juga menikmati diskaun 10 sen bagi kilowatt-jam.
"Ini selain bantuan kerajaan yang menawarkan elektrik percuma untuk mereka yang bil bulanannya RM20 ke bawah," katanya menambah kira-kira 70,000 pengguna domestik menerima faedah itu. - Bernama
Post a Comment