TOKYO – Kira-kira 150 buah syarikat berkaitan industri minyak dan gas (O&G) global bakal diisytiharkan bankrap ekoran pendapatan yang semakin berkurangan kesan kemerosotan harga minyak dunia, menurut konsultan industri IHS.
Menurut Ketua Penganalisis Sektor Hiliran IHS, Bob Fryklund, jumlah syarikat berisiko untuk bankrap itu dua kali ganda lebih tinggi berbanding 60 syarikat yang telah difailkan bankrap.
Beliau berkata, dengan bertambahnya syarikat yang diisytiharkan bankrap, ia memberi petanda bahawa paras harga minyak kini telah mencecah paras paling rendah.
“Dan yang memburukkan keadaan ialah peningkatan bilangan syarikat-syarikat yang muflis akan menyebabkan aset-aset O&G bernilai hingga AS$230 bilion (RM957 bilion) sedia untuk dijual.
“Tiada sesiapa pun berminat untuk membeli aset-aset ini kerana terdapat perbezaan pandangan mengenai jangkaan harga. Kita perlu mengurangkan jurang ini dan jika tidak, lebih banyak syarikat akan terus bankrap,” katanya.
Tambahnya, syarikat yang berminat untuk membeli aset-aset O&G ini terlebih dahulu mahu memastikan berlakunya kenaikan harga minyak secara berturut-turut dalam tempoh enam bulan.
“Hal itu sering berlaku. Respon pasaran terhadap peningkatan harga sesuatu barangan akan mengambil sedikit masa,” katanya pada Bloomberg hari ini.
Harga minyak dunia telah mengalami kemerosotan hampir 70 peratus sejak pertengahan 2014 apabila pengeluar-pengeluar minyak di Amerika Syarikat (AS) meningkatkan pengeluarannya di samping anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) terus mengekalkan kadar pengeluaran minyaknya yang tinggi.
Malah harga minyak dunia kini telah mencecah paras terendah dalam tempoh 12 tahun.
Tambah Fryklund, peningkatan sedikit harga minyak dilihat sangat membantu pemain-pemain industri kerana beberapa transaksi ketika ini ditangguhkan kerana pembeli dan penjual tidak bersetuju terhadap harga aset yang sedia dilepaskan.
Bagaimanapun menurut IHS, kejatuhan harga minyak pada masa sama menjadikan industri lebih efisien.
Menurut konsultan itu, kos operasi bagi pengeluaran setong minyak berjaya dikurangkan 35 peratus di pasaran Amerika Utara dan 20 peratus di peringkat global.
Disebabkan itu beberapa syarikat pengeluaran minyak di AS terus meningkatkan pengeluaran minyak kerana berjaya mengekalkan kos pengeluaran minyak setiap tong pada harga yang lebih rendah iaitu sehingga AS$35 (RM146) setong.
Menurut Fryklund, syarikat-syarikat pengeluar minyak akan meningkatkan aktiviti pengeluaran minyak jika mendapati harga minyak kekal pada harga AS$45 (RM187) setong dalam tempoh enam bulan.
- Utusan Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.