KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing mahu sekurang-kurangnya dua daripada 11 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi kepada parti itu.
Parlimen kelmarin meluluskan usul persempadanan semula kawasan DUN Sarawak melibatkan 11 kerusi baharu iaitu Batu Kitang, Stakan, Serumbu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.
Perkembangan itu, secara tidak langsung menjadikan Sarawak negeri paling banyak memiliki kerusi DUN iaitu 82 kerusi dalam sejarah politik negara ketika ini.
Masing dihubungi semalam bagaimanapun menegaskan pembahagian kerusi DUN baharu itu dibuat dengan persetujuan serta mengambil kira kepentingan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.
Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga Pengerusi BN negeri membuat keputusan.
“PRS mahu sekurang-kurangnya dua atau ‘2+1’ 11 kerusi DUN baharu ini. Namun perkara ini masih perlu dimuktamadkan.
“Yang pasti Ketua Menteri juga Pengerusi BN negeri memanggil pemimpin parti komponen BN negeri mesyuarat dalam waktu terdekat ini bagi membincangkan isu pembahagian 11 kerusi baharu ini,” katanya.
Masing juga Menteri Kemajuan Tanah berkata mesyuarat itu hanya boleh dihadiri empat parti komponen BN negeri iaitu PRS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).
“Pembahagian 11 kerusi ini tiada kena mengena dengan UPP (Parti Rakyat Bersatu) dan TERAS (Parti Tenaga Rakyat Sarawak).
“Parti komponen BN tidak boleh berkongsi kerusi ini dengan parti bukan komponen BN.
Sementara itu Presiden UPP, Dato Sri Wong Soon berkata, pihak menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Ketua Menteri memperuntuk atau tidak kerusi berkenaan kepada parti itu.
“Saya tidak boleh mengatakan apa-apa mengenai perkara ini (pembahagian kerusi), parti menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Ketua Menteri untuk membuat keputusan,” ujarnya ringkas.-Utusan Borneo
Post a Comment