KUALA LUMPUR - Pembangkang berang digelar hipokrit oleh Ahli Parlimen BN ketika sesi perbahasan usul untuk merujuk Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan susulan kontroversi gambarnya dengan anak pengganas, Jacel Kiram di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bangkit menuntut agar kenyataan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) itu ditarik balik.
Raime sebelum ini berkata, "jangan kita jadi hipokrit seperti pembangkang yang mendabik dada mengatakan kononnya perjuangan mereka atas prinsip demokrasi."
Suasana menjadi kecoh apabila ahli-ahli Parlimen BN dan pembangkang saling bertingkah mempertahankan pendirian mereka.
Datuk Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) bangkit dan menyifatkan perkataan hipokrit itu terlalu berat.
Namun Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee menyatakan bahawa pembangkang juga sering melemparkan pelbagai tuduhan ke atas kerajaan.
"Semalam YB...biasanya YB hari-hari tuduh kerajaan. Saya tidak memihak. YB Kapar tuduh kerajaan menipu rakyat. Saya diam sahaja. Perkataan-perkataan ini sudah menjadi kebiasaan.
"Semalam menteri minta YB Kapar tarik balik pun Kapar tak tarik balik," katanya.
Sebelum itu, Raime turut mendakwa Nurul Izzah sebagai petualang bangsa dan pengkhianat negara,” katanya.
Katanya, beliau menganggap hanya Nurul Izzah berpura-pura dalam menjelaskan isu tersebut.
“Jelas pembangkang ini tidak patriotik dan tidak cintakan negara. Tanpa segan silu mereka sanggup meletakkan kepentingan politik melebihi kedaulatan negara.
"Maka amat bersesuaian jika saya ibaratkan mereka sebagai petualang bangsa dan pengkhianat negara kita. Adakah begitu penting politik peribadi keluarga bekas ketua pembangkang ini sehingga sanggup YB Lembah Pantai berkawan baik dengan Jacel Kiram dan bersekongkol dengan musuh?," katanya.
Namun Nurul Izzah bangkit membantah dan menyifatkan kenyataan itu satu sangkaan jahat dan dakwaan liar.
Timbalan Speaker kemudiannya meminta Raime menjelaskan dakwaan itu.
"Saya cuma cakap Lembah Pantai bersekongkol dengan musuh negara. Ada juga saya menyatakan beliau tidak mengambil kira bahawa pengganas Sulu ini telah menceroboh Sabah dan membunuh pejuang-pejuang negara kita. Salahkah saya cakap?," katanya.
Sehubungan itu, Timbalan Speaker mengingatkan ahli-ahli dewan tentang nasihat Speaker , Tan Sri Pandikar Amin Mulia agar tidak mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati.
"Cukuplah sekadar kalau kita menyatakan bahawa YB Lembah Pantai telah bergambar dengan anak pengganas Sulu yang telah dianggap sebagai musuh negara. Bermakna tidak merujuk kepada YB Lembah Pantai bersekongkol atau menjadi petualang kepada negara.
"YB kena faham usul ini timbul kerana perasaan sakit hati rakyat negeri Sabah terhadap gambar yang telah dikeluarkan," katanya.
Usul untuk merujuk Nurul Izzah kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan Dewan Rakyat hari ini.
- Sinar Online
Post a Comment