Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad gesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuktikan wang derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan datang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). |
Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan wang derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan datang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengkritik lantang syarikat kontroversi itu berkata, penjelasan SPRM tidak boleh diterima kerana tiada bukti dikemukakan, malah mereka yang membuat laporan terhadap 1MDB ditekan dengan pelbagai tindakan.
"Mereka yang membuat laporan ditangkap. Peguam ditangkap. Mereka yang hidup berdepan ancaman tidak boleh dipercayai apabila memberi kenyataan.
"Jadi kita tidak boleh terima kenyataan pegawai SPRM dengan begitu saja. Kami mahukan bukti. Kami mahu tahu ke mana bagaimana wang RM2.6 bilion dalam akaun PM (perdana menteri),"kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaharunya di blog Chedet.cc hari ini.
Dr Mahathir berkata tidak cukup dengan hanya mengatakan jumlah aset melebihi pinjaman sudah memadai, sebaliknya setiap sen pinjaman perlu diambil kira.
"Menjelaskan kamu (1MDB) mempunyai lebih banyak aset daripada pinjaman tidak mencukupi. Setiap sen daripada wang yang anda dipinjam mesti diambil kira," katanya.
Beliau juga membangkitkan mengenai isu wang yang disimpan di Pulau Cayman, mendesak supaya 1MDB menjelaskan di mana wang itu disimpan dan siapa berhak membawa keluarnya.
"Di mana wang dari Pulau Cayman? Dalam bentuk apakah ia? Anda berkata sudah melihatnya.
"Adakah ia wang tunai atau akaun dalam bentuk kertas bank saja. Mengapa bank berkata mereka tidak memiliki wang itu? Bank manakah memiliki wang tersebut? Siapa yang dilantik layak untuk mengeluarkan wang itu?" soal Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri itu berkata, sejumlah wang besar perlu mendapat kelulusan Bank Negara, bagaimanapun laporan pergerakan tersebut dinafikan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang sebelum ini mengatakan tiada kesalahan dilakukan 1MDB walaupun bank pusat menghantar kertas siasatan mereka.
"Namun, laporan Bank Negara, yang saya percayai mengenai pergerakan wang RM2.6 bilion sudah ditolak peguam negara baharu," kata Dr Mahathir.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata setiap dana yang diperoleh perlu dilaporkan dalam transaksi kewangan, langkah yang gagal Najib lakukan kerana tidak mengisytiharkan kewujudan wang tersebut yang sama sekali melanggar Akta Pertubuhan.
"Perdana menteri kata ia untuk Umno. Menurut Akta Pertubuhan, Umno perlu melaporkan semua transaksi kewangan.
"Tidak ada bukti ia sudah dilakukan. Ia melanggar Akta Pertubuhan. Umno diisytiharkan haram masa waktu saya. Ini menunjukkan ia suatu yang serius. Sekarang Umno tidak melaporkan dan tidak mengambil langkah mendapatkan semula wang tersebut dan tidak melaporkan kepada Pendaftar Pertubuhan. Undang-undang apakah yang mengatakan pendaftar wajar lakukan?" katanya.
Beliau juga mahu kerajaan memberikan bukti yang lebih berkredibiliti dan selagi mereka gagal, selagi itu beliau akan terus membangkitkan mengenai isu RM2.6 bilion dan 1MDB yang terpalit dengan kontroversi dan skandal.
"Dengan hanya mengatakan ia wang derma tidak mencukupi. Beri bukti yang boleh dipercayai. Institusi kerajaan dihalang daripada mengaudit dan melaporkan mengenai 1MDB. Terdapat percubaan yang sengaja menyembunyikan aktiviti 1MDB, RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib, transaksi melibatkan PetroSaudi, Caymans, Seychelles, Hong Kong, Switzerland, United Kingdom dan Amerika.
"Sehingga kerajaan membenarkan audit oleh juruaudit bukan kerajaan, saya berhak membuat andaian yang munasabah dan menganggap terdapat lebih daripada sekadar transaksi mencurigakan membabitkan 1MDB,” katanya.
- The Malaysian Insider
Post a Comment