KUCHING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan impian rakyat untuk menikmati keselesaan menerusi kemudahan perhubungan dan perparitan dengan melaksanakan dua projek di Kampung Lintang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata projek tersebut merupakan Projek Lampu Isyarat Simpang Masuk Jalan Hashim Jaafar dan Projek Naik Taraf Sistem Perparitan di Lorong Belakang Kedai Haji Wahab.
“Projek Lampu Isyarat Simpang Masuk Jalan Hashim Jaafar akan dijalankan oleh kontraktor Seri Teknik dan dijangka dimulakan pada 30 Jun.
“Ia memakan belanja sebanyak RM349,996 dan bakal disiapkan dalam tempoh 120 hari iaitu pada 29 Oktober tahun ini.
“Selain itu, terdapat beberapa kerja penambahbaikan akan dilakukan pada jalan raya sedia ada dan lampu isyarat ini merupakan yang terbaharu dan dari jenis yang berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pembinaan Lampu Isyarat Simpang Jalan Haji Hashim Jaafar itu di sini, semalam.
Sementara itu, satu lagi projek bernilai RM285,450 adalah Projek Naik Taraf Sistem Perparitan di Lorong Belakang Kedai Haji Wahab yang akan dimulakan pada 7 Julai ini dan dijangka siap menjelang 6 November.
Tambahnya, ia akan diserahkan kepada kontraktor Lilham dan kedua-dua projek akan dipantau oleh Bahagian Penyelenggaraan dan Infrastruktur Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Kata Hasidah, perparitan sepanjang satu kilometer itu bagi melancarkan pengaliran air dan tidak menyebabkan takungan.
Turut hadir ialah Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.
- Borneo Post
Post a Comment