Hidro berkapasiti 10 MM di Sungai Kota Dua, Lawas itu akan dibina bermula 2017
LAWAS: Kerajaan negeri melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang dalam peringkat perbincangan melaksana projek pembinaan hidro mini fasa dua, berkapasiti 10 megawatt (MW) di Sungai Kota Dua, Lawas yang akan dibina bermula 2017.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kertas cadangan mengenai projek itu sudah dikemuka kepada pihaknya untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata projek itu penting bagi menampung keperluan bekalan elektrik di kawasan tersebut yang pada masa ini hanya berkapasiti 2 MW.
“Pembinaan hidro mini berkapasiti 10 MW itu perlu bagi memenuhi permintaan penduduk yang semakin meningkat di Lawas,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa anjuran SEB di sini malam kelmarin.
Turut hadir isteri Awang Tengah, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Dana Paulus Palu Gumbang, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim dan kenamaan daripada SEB.
Awang Tengah berkata lagi, Sarawak merupakan negeri yang mempunyai tarif elektrik terendah di rantau Asia.
“Penurunan kadar elektrik membuktikan keprihatinan kerajaan negeri kepada penduduk khususnya yang berpendapatan rendah di negeri ini,” ujarnya.
Beliau menambah, terdapat seramai 100,000 pengguna domestik di negeri ini yang menggunakan kadar elektrik kurang daripada RM20 dan tidak perlu membayar bil elektrik.
Katanya lagi kerajaan negeri juga membelanjakan sekitar RM1.2 juta subsidi bagi tujuan tersebut.
Dalam pada itu katanya, meskipun SEB merupakan syarikat utiliti pertama di negeri ini yang berperanan terhadap pembangunan dan kemudahan bekalan elektrik, namun SEB tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosialnya dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
“SEB turut menjalankan pelbagai pogram tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat yang memerlukan di Sarawak termasuk sumbangan duit raya kepada golongan sasar saban tahun,”ujarnya.
Sementara itu seramai 88 anak yatim, 14 saudara baharu, 37 orang kurang upaya (OKU) dan 50 warga emas menerima sumbangan raya selain sumbangan kepada pengerusi surau di daerah ini.-Utusan Borneo
Post a Comment