SDNU Sokong Komitmen KM pinda Kanun Tanah

KUCHING: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) menyokong komitmen Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem untuk meminda Kanun Tanah Sarawak pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) November depan.

Cadangan pindaan tersebut jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk melindungi penjualan dan pembelian tanah-tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kalangan Bumiputera di negeri ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung SDNU Kilat Beriak, SDNU memuji kerajaan negeri kerana mengiktiraf adat Bumiputera dalam pembelian dan penjualan tanah-tanah NCR.

“Cadangan pindaan ini tepat pada masanya memandangkan terdapat kekeliruan terhadap kesahan transaksi tanah-tanah NCR di kalangan Bumiputera.

“Tanpa tindakan positif daripada kerajaan negeri, kekeliruan baru-baru ini mungkin menggugat keharmonian di kalangan Bumiputera.

“Sehubungan itu, SDNU berterima kasih kepada Ketua Menteri atas tindakan tegas beliau untuk mengemukakan kesulitan yang dihadapi oleh Bumiputera susulan kekeliruan baru-baru ini,” katanya.

Tambah Kilat, tindakan positif oleh Ketua Menteri dan ahli-ahli kabinetnya pasti akan meningkatkan lagi keyakinan Bumiputera terhadap kepimpinan mereka.

Justeru, SDNU menggesa semua masyarakat Bumiputera memberikan sokongan penuh kepada Ketua Menteri berhubung cadangan untuk meminda Kanun Tanah.

Pada masa yang sama, SDNU turut menghargai sumbangan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang telah mengetuai gesaan untuk pindaan tersebut.

Penghargaan turut diberikan kepada menteri-menteri Dayak seperti Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing, Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawam Ikom serta pemimpin-pemimpin Dayak yang lain.

SDNU turut berharap kerajaan negeri akan bersungguh-sungguh untuk meminda Ordinan Adat Bumiputera (Deklarasi) 1996.

Ia adalah wajar untuk mengkaji semula dan mengemaskini adat dan resam Bumiputera seiring dengan perubahan masa dan kehidupan Bumiputera.-utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget