Buku ‘TAIB -THE VISIONARY’ Akan dilancarkan Pada 21 Mei

KUCHING: Sempena hari kelahiran ke-78 Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, sebuah buku biografi iaitu ‘Taib – The Visionary’ akan dilancarkan pada 21 Mei ini oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di Dewan Undangan Negeri (DUN) dekat sini.

Buku lengkap dihasilkan oleh pengamal media dan perhubungan awam Siva Kumar G ini bakal merungkai kebenaran, kontroversi serta soalan yang tidak pernah dibincangkan sepanjang 33 tahun dalam kerjaya Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak termasuk 50 tahun terlibat dalam arena politik.

Mengulas lanjut, Siva memberitahu bahawa buku ini merupakan sebuah buku yang ditunggu-tunggu mengenai Taib kerana ia mengandungi 40 peratus kisah peribadi dan melibatkan emosi, yang tidak pernah ditulis atau dilaporkan sebelum ini.

“Saya berasa sungguh bangga apabila Pehin Sri meminta saya menerbitkan buku ini dan membenarkan saya menceritakan kisahnya selama 33 sebagai Ketua Menteri.

“Ia mengambil masa selama tiga tahun untuk saya menyiapkan 33 bab dalam buku ini yang mengandungi kurang daripada 500 gambar masa lalu dan Taib hari ini.

“Ia juga termasuk lebih 24 jam sesi ‘mata bertemu mata’ dengan beliau sendiri serta temu bual melibatkan lebih 20 personaliti dan pelbagai lawatan di seluruh negeri ini sejak 2011,” katanya.

Siva berkata demikian ketika mengadakan sidang media mengenai pelancaran buku ‘Taib – The Visionary’ di Hotel Hilton di sini, semalam.

Menurut Siva, buku dengan 810 muka surat ini merupakan kesinambungan daripada buku ‘Taib – A Vision for Sarawak’ dan akan dicetak sebanyak 20,000 naskhah serta dijual dengan harga RM99.90.

“Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku utama bermula bulan depan (Jun 2014).

“Selain itu, versi bahasa Malaysia dan Mandarin dijangka diterbitkan pada bulan September depan dan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan setiap masyarakat pelbagai kaum memahaminya,” jelasnya.

Tambahnya, versi elektronik turut disediakan yang ia turut disediakan dalam tahun ini.

“Sepatutnya buku ini dilancarkan pada Oktober tahun lalu tetapi tidak berlaku.

“Kemudian pelancarannya ditukar kepada 26 Mac, tetapi akhirnya ia bakal dilancarkan sempena hari lahir Pehin Sri.

“Buku ini nanti merupakan buku terkini dan sehingga kini ia masih dalam pembuatan dan beberapa bab sedang diperhalusi, syukur kepada teknologi yang canggih hari ini,” katanya menambah buku ini nanti boleh dijadikan rujukan oleh wartawan muda serta ahli akademik.

Bercerita mengenai buku tersebut, Siva berkata ‘Taib – The Visionary’ merupakan kajian tiga tahun dan isi kandungannya merupakan usaha bersama pasukannya yang menyingkap kerjaya Taib sebagai Ketua Menteri bermula Mac 1981 hingga Februari 2014.

Menurutnya, buku itu dilengkapi dengan kira-kira 500 gambar Taib sejak beliau kecil, zaman persekolahan sehingga alam universiti dan sebagai seorang ahli politik muda yang berkembang sehingga mencapai tahap membanggakan hari ini.

Buku ini turut mendapat kerjasama penuh daripada Taib berhubung pelbagai isu, jawapan kontroversi serta kisah terperinci mengenai dirinya, kerjayanya, visinya dan pendapatnya serta perkara yang menjadikannya seperti hari ini serta legasi yang ditinggalkannya.-utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget