Persahabatan Malaysia, Indonesia Perlu Diperluaskan - Duta Indonesia

SINTOK, 5 Mei (Bernama) -- Usaha menyemai semangat persahabatan antara Malaysia dan Indonesia tidak boleh terlalu menumpukan kepada saluran rasmi atau hubungan diplomatik sahaja tetapi perlu diperluaskan kepada aspek lain juga, kata Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayitno.

Katanya hubungan Malaysia dan Indonesia sudah terjalin sejak 57 tahun lepas tetapi sentiasa sahaja ada pasang surutnya, dan perkara ini tidak boleh dipandang mudah.

Beliau berkata sudah tiba masanya jalur kedua iaitu saluran lain selain hubungan rasmi dan diplomatik digunakan dalam mengukuhkan hubungan kedua-dua negara.

"Kita kena hidupkan hubungan seperti ini terutama dalam kalangan generasi muda yang akan memimpin Malaysia dan yang akan memimpin Indonesia pada masa akan datang...supaya rasa persahabatan dipupuk sejak muda. Apabila mereka jadi pemimpin di Malaysia dan Indonesia nanti, hubungan erat ini terjaga," katanya ketika ditemui di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini Isnin.

Terdahulu beliau merasmikan Festival Malindo dan Perbincangan Meja Bulat "Peranan Jalur Kedua Diplomasi Dalam Hubungan Malaysia-Indonesia" selama dua hari bermula hari ini di UUM.

Herman berkata hubungan Malaysia dan Indonesia perlu sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Kena ada usaha-usaha agar hubungan serumpun ini benar-benar rukun. Hatinya perlu ditautkan di masa akan datang supaya betul-betul serumpun...supaya takde rasa iri hati, curiga," katanya.

Katanya generasi muda perlu diingatkan bahawa persahabatan tidak terjadi dengan sendiri bagi memastikan hubungan yang ada sentiasa baik dan bertambah kukuh.

"Harapan kita pada masa akan datang persaingan bukan antara negara tetapi antara individu itu sendiri. Kita patut maju dan sejahtera bersama-sama. Ini perlu ditekankan kepada generasi muda," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak berkata Malaysia dan Indonesia asalnya adalah serumpun tetapi kerana warisan kolonial Inggeris dan Belanda menyebabkannya terpisah menjadi dua negara.

Katanya UUM turut memainkan peranan yang penting bagi memastikan kelestarian hubungan antara kedua-dua negara terus erat.

Beliau berkata dalam hal ini, UUM mempunyai 25 kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di Indonesia melibatkan 21 memorandum persefahaman (MoU) dan empat memorandum perjanjian (MoA).

"Selain itu, kami turut menerima agak ramai pelajar dari Indonesia. Alumni UUM dari Indonesia adalah seramai 859 orang...bilangan pelajar semasa adalah seramai 451 orang. Kita turut mempunyai staf pelawat dari Indonesia seramai 20 orang," katanya.- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget