Putrajaya perlu iktiraf Hari Gawai sebagai cuti nasional


SHAH ALAM : Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan supaya Hari Gawai diiktiraf sebagai cuti nasional menandakan berakhirnya musim menuai dan mulanya musim menanam padi baharu.

Beliau berkata, Hari Gawai mengingatkan semula sejarah perjuangan kaum Dayak yang berjaya mengiktirafnya sebagai cuti umum di Sarawak bermula 1 Jun 1965.

"Kaum Dayak meraikan pesta menuai bersama keluarga dan saudara mara biarpun berbeza agama menandakan rasa syukur ke atas hasil tuaian yang juga simbol serta sumber kehidupan penting bagi masyarakat pribumi.

"Pada zaman penjajahan, masyarakat Dayak dihalang menyambut pesta menuai pada waktu berlainan mengikut cara mereka sendiri. Sejurus pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, kebangkitan semangat nasionalisme Dayak melahirkan idea untuk satu hari rasmi bagi merayakan Gawai Dayak.

"Sesungguhnya Hari Gawai kini adalah simbol harapan, perpaduan dan aspirasi yang tidak tercabut daripada akar tradisi ketika kita merentas arus pemodenan," katanya dalam perutusan sempena Hari Gawai.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, kualiti hidup masyarakat Dayak juga masih jauh ketinggalan dan perlu diberi perhatian ekoran peminggiran pemerintah terhadap keupayaan politik mereka.

Namun, beliau memuji keberanian kaum itu yang terus memberikan kepercayaan terhadap calon KEADILAN sehingga berjaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Mei lalu.

"Hak ke atas tanah adat misalnya terus dipinggirkan selain infrastruktur asas tidak memuaskan menyebabkan masyarakat Dayak ketinggalan dalam pembangunan dan kemakmuran ekonomi negara dinikmati mereka yang lain.

"Meskipun hanya bila tiba pilihan raya negeri, pimpinan Sarawak yang mendekati masyarakat Dayak semata-mata mahu meraih undi.

"Saya tetap rasa bangga apabila melihat bara kesedaran untuk mencapai keadilan mula wujud dalam kalangan masyarakat pribumi Sarawak, termasuklah kaum Dayak. Mereka nampaknya tidak lagi gentar untuk memperjuangkan hak mereka dan berani memenangkan calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Krian dan Ba' Kelalan," katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu sekali gus membuktikan simbol kesedaran politik baharu dalam kalangan orang Dayak.

"Justeru, tidak keterlaluan apabila kita harus menggesa kerajaan mengiktiraf kekuatan budaya masyarakat Dayak ini setara dengan kaum lain dengan memberikan cuti umum pada 1 Jun setiap tahun," katanya.

- Selangorkini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget