Kematian menantu TPM : Polis ambil keterangan‎ 11 individu


KUALA LUMPUR - Polis telah mengambil keterangan 11 individu dalam siasatan berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu timbalan perdana menteri, susulan rawatan gigi di Bangsar, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, dua doktor klinik gigi yang merawat allahyarham antara individu yang diambil keterangan semalam.

"Polis turut ambil keterangan daripada pihak Kementerian Kesihatan dan kakitangan klinik. Buat masa ini, tiada individu ditahan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau berkata, polis akan merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu ini untuk tindakan lanjut.

Syed Alman Zain, 44, merupakan suami kepada anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah, 37.

Allahyarham dilaporkan pergi ke klinik bersama seorang rakan pada kira-kira jam 6 petang Rabu lalu untuk mendapatkan rawatan gigi sebelum tidak sedarkan diri.

Allahyarham kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan disahkan meninggal dunia. 

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata polis mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kematian Syed Alman Zain. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian," kata Amar Singh.

 ‎- Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget