Penduduk Selangor dakwa BN lebih baik daripada PR


Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor didakwa gagal memberi penjelasan berhubung bantahan penduduk berhubung pembinaan lebuhraya DASH, SUKE.
SHAH ALAM: Penduduk mendakwa Barisan Nasional (BN) lebih baik membuat perancangan struktur pembangunan di Selangor berbanding kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘Say No To DASH’, Mak Khuin Weng berkata, BN lebih bersikap adil dan mengikut prosedur undang-undang dalam memberi penjelasan apabila menerima bantahan daripada rakyat.

NGO itu merujuk kepada bantahan terhadap pembinaan projek Lebuhraya Sungai Besi-Hulu Klang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

“Di bawah kerajaan BN, kerajaan negeri membuat rancangan struktur negeri pada 2002 hingga 2006. Mereka mengadakan mesyuarat terbuka untuk mendengar apa yang penduduk cakap dan kerajaan ketika itu memberi penjelasan kepada
penduduk melalui surat bahawa mereka telah menerima setiap aduan yang dibuat seterusnya mengubal struktur perancangan itu semula.

“Tetapi proses itu tidak diikuti (kerajaan negeri) sekarang. Mesyuarat dibuat secara tertutup dengan penduduk bersama syarikat lebuhraya yang terlibat namun tidak diberi maklum balas aduan yang kita buat.

“Mereka hanya nak dengar sahaja tapi tidak memberi penjelasan,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi pendengaran awam penduduk bersama Jabatan Perancang Bandar dan Desa yang turut dihadiri EXCO kerajaan negeri, Datuk Iskandar Samad di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khuin Weng berkata pihaknya hanya mahu penjelasan secara terperinci daripada Kerajaan Selangor berhubung pembinaan lebuhraya berkenaan.

Katanya, sudah empat kali mereka membuat aduan namun tidak mendapat sebarang jawapan daripada kerajaan negeri.

“Kami nak ketelusan, nak surat daripada kerajaan negeri, kamu balas apa yang kami kritik dan minta sejak 2012, sekarang sudah masuk tahun 2016, surat masih tak dijawab,” katanya.

Seorang wakil penduduk Damansara Perdana, Fadzil Ismail berkata, pihaknya terkejut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang tidak memandang serius tuntutan penduduk.

“Adakah bantahan ini tidak penting jika dibandingkan kepentingan syarikat besar seperti Prolintas yang mendapat konsesi selama 65 tahun.

“Ramai orang tidak tahu, 65 tahun ini anak cucu mereka akan dapat untung, tetapi penduduk yang terpaksa menangung kesan daripada pembinaan lebuhraya ini,” katanya.

- Free Malaysia Today
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget