PKR hanya kawan PAS di Selangor, mungkin bermusuh ketika PRN Sarawak


PAS nampaknya terpaksa bersendirian berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kerana PKR yang kononnya masih bekerjasama di Selangor, memilih bersama-sama Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya tersebut.

Lebih memalukan apabila Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memperkecilkan PAS sebagai parti tanpa pengaruh malah tidak ada kerusi di Sarawak.

Menurut Wan Azizah PAS kurang pengaruh di Sarawak dan Sabah berbanding di Semenanjung.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Isnin sebagai mengulas mengenai sama ada PKR akan bekerjasama dengan parti AMANAH dan PAS bagi PRN Sarawak yang dijangka awal tahun depan.

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat Pakatan Harapan.

Pendirian Wan Azizah kemungkinan ada kaitan dengan kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu bahawa parti itu bercadang untuk meletakkan calon dalam pilihan raya Sarawak.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, perkara itu merupakan tumpuan utama partinya dalam masa terdekat ini.

PAS dijangka bertanding lebih banyak kerusi pada PRN tahun depan kerana pada PRN ke 10 lalu, parti itu hanya di bawah 400 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.

Daripada lima kerusi sebelum ini, PAS menjangkakan akan bertanding 10 kerusi pada PRN Sarawak kali ini.

Bagaimanapun, itu perancangan ketika PAS masih di dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama PKR dan DAP.

Namun, Pakatan Harapan ditubuhkan pada September bagi menggantikan PR yang tidak lagi berfungsi selepas PAS menamatkan kerjasama politik dengan DAP.

Bagaimanapun, PKR, DAP dan PAS masih bersama dalam pentabiran kerajaan Selangor.

Berdasarkan kenyataan Wan Azizah itu, sudah jelas PKR akan membantu AMANAH bertanding dan memenangi kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada PAS.

PKR tentu tidak akan bertanding di kerusi yang PAS pilih demi menjaga hati parti itu sebagai ‘kawan’ mereka di Selangor.

Jika PKR memilih bertanding juga di kerusi PAS, bermakna kedua-dua parti bakal bermusuh sekaligus boleh menamatkan hubungan mereka di Selangor.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan akan mengadakan persidangan pertamanya pada 9 Januari tahun depan bagi membincangkan polisi umum melibatkan ketiga-tiga parti komponennya.

Wan Azizah berkata, persidangan ini akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur dan dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Dalam persidangan tersebut, ketiga-tiga parti iaitu PKR, DAP dan Amanah akan menghantar 50 orang pimpinan ke persidangan tersebut.

- BNBBC
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget