KUALA LUMPUR, 3 Nov- Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tidak perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan parlimen berikutan gambarnya bersama Jacel Kiram , kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Menurut Gobind, tindakan yang dilakukan Izzah tidak menghina majlis mesyuarat dan beliau juga telah memberi penjelasan lanjut mengenai pertemuan bersama anak perempuan Jamalul Kiram III itu.
“Kalau lihat pada peraturan mesyuarat ini, cukup jelas sekiranya kita membawa tuduhan bahawa kelakuan MP tersebut menghina majlis mesyuarat, maka kita ada senarai apa yang dikata penghinaan.
“Pada saya, kalau dilihat pada senarai itu, memang tidak termasuk dalam ruang perkara-perkara disebut di situ di mana seorang MP ke majlis makan di luar dewan dan bergambar dengan siapa-siapa (sahaja),” katanya.
Namun katanya, mereka akur dengan keputusan ditetapkan walaupun penjelasan telah diberikan.
“Seperti mana biasa berlaku, majoriti di parlimen mempunyai kuasa dan kita lihat usul-usul ini didebat tetapi keputusannya memang kita dapat lihat sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen.
Tambahnya lagi, kes ini akan dibicarakan dalam jawatankuasa berkenaan sebelum Nurul Izzah disabitkan bersalah menghina majlis messyuarat seperti yang diusulkan.
Bagaimanapun Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau menerima keputusan ini dan bersedia untuk memberi penjelasan.
“Saya terima keputusan ini dan sedia beri kerjasama kepada jawatankuasa,” jawabnya ringkas.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan keputusan undi belah bahagi selepas perbahasan berhubung perkara itu selesai. Sebanyak 105 undi menyokong membawa Nurul Izzah ke jawatankuasa berkenaan, manakala sejumlah 77 undi menolak.
Usul berkenaan dibawa ke Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said.-Keadilan Daily
Post a Comment