KUCHING: Sejumlah 436 kawasan seluas 654,223 hektar siap diukur secara perimeter iaitu kira-kira 90 peratus daripada kawasan disasarkan untuk diselesaikan sehingga hujung tahun ini.
Menurut Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menerusi satu kenyataan akhbar kelmarin, jumlah yang disasar untuk diselesaikan menjelang tahun ini adalah sebanyak 730,000 hektar.
Walaupun pengukuran lot individu dirancang untuk dilaksanakan hanya setelah pengukuran secara perimeter selesai sepenuhnya, namun atas permintaan penuntut-penuntut tanah Hak Adat Bumiptera (NCR), JTS turut melaksanakan pengukuran individu lebih awal.
Setakat ini, 14 kawasan diukur secara individu yang melibatkan 3,773 lot dan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
Bagi komuniti Bidayuh secara keseluruhan, sejumlah 50 kawasan berkeluasan 98,810 hektar siap diukur secara perimeter melalui peringkat pertama program tersebut manakala sejumlah 14 kawasan sedang diukur secara perimeter melibatkan kawasan seluas 36,504 hektar.
Bagi pengukuran lot individu pula, tiga kawasan yang melibatkan 1,141 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dikeluarkan melalui program sama.
Satu lagi kawasan iaitu Kampung Grogo/Sibuluh Bau sedang diukur lot individu yang melibatkan kawasan seluas 2,303 hektar.
Pengukuran tanah NCR menerusi inisiatif baharu itu adalah usaha berterusan kerajaan dalam mengiktiraf hak adat Bumiputera dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan JTS amat menghargai kerjasama semua pihak termasuk Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dalam melaksanakan program itu.
Walaupun permohonan untuk menyertai program itu boleh dikemukakan kepada DBNA namun penuntut tanah NCR daripada komuniti Bidayuh boleh mengemukakan permohonan terus kepada JTS, selaras dengan prosedur sedia ada.
Melalui permohonan terus kepada JTS, kerja-kerja pengukuran di kawasan Ri’ih Samarahan selesai dilaksanakan bagi kedua-dua peringkat pengukuran.
Manakala bagi permohonan dibuat melalui DBNA, contohnya Skuduk dan Pisa Kuching, kedua-dua peringkat pengukuran selesai dilaksanakan dan ia bermakna JTS sentiasa terbuka kepada kerjasama mana-mana pihak dalam usaha memastikan pengukuran tanah NCR di bawah program itu berjalan lancar.
Sementara itu, berhubung penutupan Jalan Eastern Park dekat Jalan Nanas Barat, ia telah dikenal pasti JTS pada awal bulan September lalu dan siasatan telah dibuat termasuk menghubungi pemilik tanah serta peguam.
Hasil siasatan mendapati tanah itu merupakan tanah berhak milik dan lot terhasil daripada pecah bahagi yang dilaksanakan pada 1962 di mana pada masa itu tidak mandatori untuk pemilik tanah menyerahkan tanah bagi tujuan pembinaan jalan kepada kerajaan.
Peguam mewakili pemilik tanah menyatakan secara bertulis bahawa mereka tidak membantah sekiranya tanah dikekalkan untuk kegunaan awam sebagai jalan melalui proses perundangan sedia ada.
Buat masa ini katanya, JTS mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu itu dan memerlukan masa memandangkan ia membabitkan proses perundangan.
JTS akan terus berurusan dengan semua pihak terlibat termasuk agensi kerajaan lain seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara bagi memastikan masalah itu diselesaikan dan tindakan susulan diambil akan dimaklumkan kepada pihak terlibat.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.