Lapor polis jika ada kakitangan sukat NCR minta bayaran


SONG: Tuai rumah dinasihatkan supaya membuat laporan polis jika ada individu daripada kerajaan meminta bayaran menjalankan inisiatif kerja penyukatan perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Superintenden Jabatan Tanah dan Ukur Kapit Peggy Ronin Edin berkata, di bawah inisiatif itu, semua kos bermula dari proses menyukat perimeter sehingga pengeluaran hak milik tanah individu NCR akan ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya.

“Ini bermakna ia dilakukan secara percuma. Jika anda dipinta untuk membayar kerja penyukatan tersebut anda boleh melaporkannya kepada polis,” ujarnya.

Peggy berkata demikian ketika majlis ‘Ngiling Bidai’ dan majlis penyerahan warta tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak yang diadakan di Rumah Ijau Sibat di Nanga Mukeh, Katibas, hari Jumaat yang lepas.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Kapit yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Pegawai Daerah Song Jackline August.

Menurut Peggy, tuai rumah boleh mendapatkan kepastian daripada penduduk rumah panjang yang lain yang melalui inisiatif kerajaan tersebut.

Selain itu, beliau juga menawarkan diri untuk membantu penduduk Rumah Ijau Sibat, Rumah Kutak Mugang dan Rumah Leo Sana di Nanga Mukeh membuat laporan polis seandainya penduduk tiga buah rumah panjang itu dipaksa membuat pembayaran untuk pelaksaan inisiatif itu.

Pada majlis sama, Peggy menjelaskan bahawa 60 kawasan di Bahagian Kapit telah diluluskan untuk kerja penyukatan perimeter NCR yang mana 17 kawasan terletak di daerah Song.

“Pihak kami telah menyiapkan kerja penyukatan di sembilan buah kawasan daripada 17 kawasan di Song.

“Daripada sembilan kawasan tersebut, lima telah diwarta di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, peringkat pertama daripada dua peringkat sebelum tanah NCR diiktiraf,” jelasnya.

Alexander pada majlis tersebut telah menyampaikan warta tanah kepada 16 penerima.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget