MIRI: Penduduk luar bandar yang sebelum ini terpengaruh dengan hasutan Radio Free Sarawak (RFS) sejak dilancar beberapa tahun lalu kini kembali menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang yang mendakwa konsep RFS hanya memburukkan kerajaan dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat.
“Saya harap rakyat negeri ini terutama di kawasan Parlimen Sibuti tidak mudah terpengaruh dengan hasutan yang dihebahkan dalam Radio Free Sarawak itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya.
Katanya, RFS menimbulkan pelbagai spekulasi bertujuan menghasut rakyat Sarawak supaya menentang kerajaan dan cuba menimbulkan kebencian kaum dengan mengatakan kerajaan tidak pernah betul.
“Bagaimanapun, penduduk luar bandar mendengar siaran RFS itu lebih bijak menilai kebenaran serta tidak mudah terpengaruh dengan apa juga hasutan, tohmahan atau spekulasi pembangkang,” jelasnya.
Ahmad Lai berkata PRN akan datang menjadi satu cabaran kepada kerajaan BN menangkis segala tohmahan pembangkang melalui media masa dan elektronik.
“Pelbagai cara digunakan pembangkang berkempen termasuk melalui RFS dan laman sosial namun kita bersedia membantu calon-calon BN menangkis tuduhan tidak berasas semasa berkempen,” katanya.
Beliau berkata rakyat harus bijak menilai sumbangan kerajaan BN kepada mereka sejak beberapa generasi seterusnya tidak menghancurkan masa depan dengan memihak kepada pembangkang.
“Pembangkang ini hanya tahu menyebarkan fitnah tetapi hakikatnya mereka tidak mempunyai sumber kewangan kukuh membantu rakyat dalam pelbagai aspek,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, masalah lampu jalan dan sistem perparitan di jalan baharu Taman Tunku diserahkan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk mendapatkan peruntukan kerajaan.
“MBM boleh memohon peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 untuk membina lampu jalan bagi menerangi jalan baharu berhampiran Lapangan Terbang Miri,” jelasnya.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Tunggu apa lagi tutup saja stesyen RBF itu.