SUARA LANTANG: Ketua Menteri Adenan Satem ada sebab sendiri mengapa beliau mahu memberikan pembangunan yang lebih kepada kawasan pedalaman Sarawak.
Beliau mahu membalas budi penduduk pedalaman yang sekian lama dipinggirkan walaupun setia terhadap kerajaan BN, terutama ketika pilihanraya.
“Saya ingin mengubahnya kerana jika kita lihat kepada keputusan pilihanraya lalu, sokongan terhadap BN kebanyakannya datang daripada penduduk pedalaman, kita kalah di semua kerusi bandar. Jadi kita kena balas kembali kepada populasi luar bandar atas sokongan kuat mereka kerana itulah hukum dalam kehidupan ini,” katanya.
Adenan yakin beliau dapat membetulkan kesilapan berdekad lamanya itu – meminggirkan kawasan luar bandar – kerana beliau percaya Perdana Menteri Najib Razak akan memberikan peruntukan untuk membuat apa yang sewajarnya.
Beliau merasakan jika Najib melihat kerajaannya kuat dan dapat diharapkan, perdana menteri akan bertanggungjawab untuk memberikan wang yang diminta.
Itulah gaya Adenan dan beliau tidak berahsia tentangnya.
Namun, perancangan, pengisytiharan dan janji untuk membangunkan kawasan luar bandar Sarawak bukanlah perkara baru.
Ketika Abdul Taib Mahmud menjadi ketua menteri, beliau juga memiliki dasar dan perancangan yang bertujuan mengurangkan jurang ekonomi bandar – luar bandar.
Beliau yang kini Yang di-Pertua Negeri malah pernah bercakap ingin menutup – bukannya mengurangkan – jurang ekonomi. Beliau memulakan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang merangkumi lima titik pembangunan baru iaitu Tanjung Manis, Mukah, Samalaju, Baram dan Tunoh.
Titik pembangunan baru ini adalah kawasan yang menjadi tumpuan usaha pelaburan dalam koridor tersebut. Mengikut perancangannya, setiap kawasan ini akan memiliki fokus sendiri: Mukah – Bandar Pintar: pusat kepada koridor; Tanjung Manis – Bandar Pelabuhan Industri dan Hab Halal; Samalaju – Pusat Industri Berat; Baram dan Tunoh – industri berasaskan sumber dan pelancongan.
SCORE dijangka menjana lebih sejuta peluang pekerjaan, namun jika kita melihat apa yang terjadi di sektor perladangan, siapa tahu jika peluang-peluang ini tidak juga akan jatuh ke tangan warga asing.
Hari ini, ladang kelapa sawit di Sarawak mengambil ratusan ribu pekerja asing.
Sebelum SCORE, Taib membuat lebih sedozen Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC). Namun sehingga sekarang, ada RGC yang berada dalam keadaan tenat.
Misalnya, RGC Padawan hanya merangkumi sebuah bangunan pejabat sub-daerah, sebuah klinik dan tanah lapang di mana sebuah pusat komersial sepatutnya dibina.
“Orang tempatan kini melihat RGC itu sebagai projek gajah putih kerana tiada lagi kemajuan di sana, kecuali pejabat sub-daerah dan klinik.
“Saya sudah memarahi pihak berkuasa agar memulakan pembinaan pusat komersial selama lebih sepuluh tahun. Tetapi sehingga sekarang, tempat itu kekal tidak dibangunkan,” keluh Adun Bengoh Dr Jerip Susil. Beliau kedengaran seperti tidak bertaring.
Pada Mei 2013, sidang DUN Sarawak diberitahu yang negeri telah meminta RM34.2 juta daripada kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) untuk membina kemudahan asas bagi membangunkan RGC Opar, pusat RGC kesebelas yang diluluskan dalam RMK9.
Sejumlah RM9.3 juta diperuntukkan pada 2010, di mana RM4.1 juta dibelanjakan untuk pampasan tanah, kerja peninjauan, kajian tanah dan penilaian impak alam sekitar (EIA).
Tambahan RM5.2 juta lagi diperuntukkan pada 2011 kepada Jabatan Kerja Raya bagi membina jalan sepanjang 2.6km dari Lundu, yang siap pada Ogos 2012.
“Perancangan sudah berjalan bagi membangunan RGC Opar menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi yang membangun dan berdaya saing,” sidang DUN diberitahu.
Jelas, jutaan yang dibelanjakan dalam RGC masih belum cukup untuk mengurangkan jurang bandar-luar bandar.
Selain itu, ketika banyak perancangan dibuat, wang tidak selalunya ada.
Dan paling penting, iltizam politik benar-benar kurang, seperti yang ditunjukkan dalam satu sidang DUN:
Adun: “Saya ada dua soalan tambahan kepada Yang Berhormat Menteri: Pertama, apakah kriteria bagi sesebuah kawasan untuk dibangunkan menjadi RGC? Kedua, beberapa tahun lalu saya dengar Long Semadoh telah diluluskan untuk menjadi RGC, adakah ia masih dalam perancangan kerajaan? Terima kasih.”
Menteri: “Tuan Speaker, kerajaan memang berniat untuk menubuhkan RGC. Di kawasan Trusan, ia adalah sebuah kawasan yang dipanggil Long Semadoh. Bukan Kampung Long Semadoh. Saya tak pernah kata Kampung Long Semadoh.
“Sebuah kawasan di Long Semadoh telah dicadangkan untuk RGC. Saya ke sana, termasuk ketika pilihanraya, dan mempromosikan idea RGC kepada masyarakat di sana. Walaupun dengan penjelasan saya, hasilnya negatif kerana masyarakat Long Semadoh seakan tidak mahu menyokong kerajaan.
“Dan di kawasan di Ba’kelalan yang saya tahu, dari Long Merarap, Budu Aru, Budu Bui, Long Tangit, Long Kumap, Pak Tawe, Long Langai dan sampai ke Ba’kelalan. Manakala di Long Semadoh ia merangkumi Long Sukang, Long Lupeng, Long Semadoh, Sumaneseb, Kunang Kelingan, Long Beluyuk, Long Tanit, Long Kerabangan.
“Maka bagi kawasan-kawasan ini, di Semadoh dan juga Ba’kelalan, kerajaan masih ada komitmen untuk membantu masyarakat pedalaman di kawasan atas Trusan.
“Ada permintaan daripada masyarakat di Ba’kelalan yang telah menerima konsep RGC, dan kita sedang mengkaji kawasan mana yang paling sesuai. Ini kerana jika kami, kerajaan, membelanjakan wang untuk kawasan yang masyarakatnya tidak bekerjasama, kami akan dituduh membazirkan wang. Ia akan menjadi modal politik kepada pembangkang untuk menyerang kami. Maka kami tidak akan mengundang risiko itu.”-The Ant Daily (Jimmy Adit)
Post a Comment