Yussibnosh teruja dan gemuruh pertama kali hadiri Persidangan DUN

KUCHING: Pertama kali menghadiri Persidangan Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam pastinya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Yussibnosh Balo.

Menurut  Yussibnosh, pelbagai perasaan bermain di benak fikirannya sejak beberapa hari ini seperti teruja, gemuruh yang mana ia jelas terpancar menerusi ekspresi riak wajahnya.

“Perasaan saya sememangnya berkobar-kobar kerana pertama kali menghadiri persidangan ini.

“Saya akan cuba mendengar dan memerhati buat masa ini hujah-hujah yang disampaikan semasa persidangan berlangsung,” katanya sambil menambah akan mengadaptasi serta belajar melalui pengalaman pertamanya dalam tempoh sepuluh hari persidangan ini.

Tambahnya, beliau tidak mensia-siakan peluang yang ada di DUN dan telah menyediakan beberapa soalan untuk diajukan.

“Antara soalan yang akan saya kemukakan adalah bilangan penambahan ketua kaum dan ketua kampung serta masyarakat di peringkat daerah sebab penduduk semakin bertambah pada hari ini terutama di daerah Mukah,” kongsinya.

Menurutnya, pentadbiran serta keperluan penambahan ketua di peringkat akar umbi ini penting.

Jelasnya, pengalaman sebagai pegawai daerah sebelum ini pasti akan dimanfaatkan dalam kerjayanya sebagai ADUN dalam membangunkan kawasan dan negeri ini amnya.

“Harapan saya agar kita dapat membangunkan kawasan Balingian dengan sistematik,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai perasaan menggunakan pakaian rasmi DUN, beliau dengan nada berseloroh memberitahu pada awalnya beliau berasa serba salah dan takut-takut sekiranya beliau tersalah cara menggunakannya.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian Mac lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Balingian dengan kemenangan bergaya apabila Yussibnosh berjaya mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 6,911 undi.

Beliau yang pernah menyandang jawatan pegawai daerah Dalat memperoleh 8,194 undi.-utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget