Persidangan Dewan Undangan Negeri Bermula

KUCHING: Dua rang undang-undang dan enam usul akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini, 5 hingga 15 Mei 2014 di Kompleks DUN Petra Jaya di sini.

Perkara ini dinyatakan oleh Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar pada sidang media selepas Mesyuarat Pra-Persidangan DUN Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini semalam.

Jelas Asfia, rang undang-undang pertama iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan  2013, 2014 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh untuk bacaan kali pertama pada 6 Mei disusuli bacaan kedua dan ketiga pada 8 Mei.

Manakala rang undang-undang kedua iaitu Rang Undang-Undang Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2014 akan dibentangkan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk bacaan pertama, kedua dan ketiga pada 6 Mei.

“Kami menerima enam usul, pertama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan Baru Bian di mana beliau memohon untuk memperkenalkan ‘Private Members Bills’  untuk meminda Kanun Tanah bagi definisi Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Usul kedua diterima daripada ADUN Pelawan David Wong Kee Woan untuk menambah bilangan mesyuarat persidangan DUN daripada dua kepada tiga dan daripada lapan kepada 14 bagi setiap mesyuarat,” katanya.

Usul ketiga diterima daripada ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen yang membuat permintaan formal kepada kerajaan pusat untuk meningkatkan royalti minyak dan gas daripada lima peratus kepada 20 peratus.

Selain itu, Chong turut mengemukakan usul mengenai jawapan bertulis yang sepatutnya diterima oleh beliau daripada kementerian yang berkenaan namun sebaliknya yang berlaku.

Usul kelima akan dibentangkan oleh ADUN Padungan Wong King Wei, meminta Yang di-Pertua Negeri, Ketua Menteri dan menteri-menteri Sarawak patuh kepada perlembagaan dan tidak terlibat dengan perusahaan komersial.

Sementara itu ADUN Batu Lintang See Chee How akan mengemukakan usul keenam mengenai kawalan imigresen yang diguna pakai di Sarawak berhubung kemasukan Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin baru-baru ini.

Ditanya adakah ‘Private Members Bills’ diusulkan buat pertama kalinya pada mesyuarat DUN, Asfia berkata ia pernah diusulkan sebelum ini dan ini adalah kali kedua ia diusulkan.

Berbeza dengan usul ketiga oleh Chong mengenai bayaran royalti minyak dan gas serta usul kelima oleh See mengenai kawalan imigresen, kedua-duanya merupakan usul yang pertama kali dikemukakan pada mesyuarat DUN.

Dalam pada itu, mesyuarat DUN kali ini akan dirasmikan buat pertama kalinya oleh Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Sebanyak 319 pertanyaan diterima dengan Pejabat Ketua Menteri menerima bilangan paling banyak iaitu 51 pertanyaan.

Sesi perbahasan akan berlangsung pada Rabu, Khamis dan Jumaat iaitu 7, 8 dan 9 Mei menyentuh mengenai ucapan Yang di-Pertua Negeri.-utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget