Adenan Minta Dua Kumpulan SUPP Berkompromi Kongsi Kuasa

KUCHING, 4 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini sekali lagi mengingatkan dua puak yang bertelagah dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) supaya berdamai dan berkompromi mengenai perkongsian kuasa dalam kepimpinan parti.

Nasihat itu diberi selepas dua hari Presiden parti Tan Sri Peter Chin mengumumkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bersetuju menerima penjelasan mereka dan memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan membatalkan pendaftaran parti itu.

ROS juga meluluskan rayuan pembatalan pendaftaran dua cawangan Piasau dan Bekenu tahun lepas, susulan rayuan parti itu.

"Berkompromi adalah satu pihak tidak mendapat semua yang mereka mahu. Itulah kompromi, jika tidak ia bukan tolak ansur," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti di sini, Ahad.

Beliau ditanya sama ada formula beliau mengenai representasi kepimpinan 50/50 antara kumpulan Chin dan kumpulan pengerusi cawangan Sibu Dato' Seri Wong Soon Koh bagi menyelesaikan persengketaan dalaman parti itu, masih wujud.

Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam persengketaan itu dan menegaskan pendiriannya adalah untuk tidak mencampuri mana-mana komponen BN yang menghadapi krisis dalaman parti.

"Bagaimanapun, jika ia menjejaskan kedudukan BN di Sarawak, maka saya wajar masuk campur dan isu persengketaan yang berterusan dalam SUPP ini menjejaskan kedudukan BN di negeri ini.

"Ia bukan apa yang saya mahu mereka buat, tetapi itulah yang perlu mereka lakukan. Nasihat saya kepada mereka ialah berdamai, itulah yang selalu saya katakan," katanya.

Sebelum ini, Chin berkata parti itu menerima dua surat bertarikh 2 April 2014 daripada pejabat Menteri Dalam Negeri dan ROS memaklumkan keputusan itu.

Beliau berkata surat ROS, yang ditujukan kepada setiausaha agung parti, menyatakan penjelasan parti mengenai surat tunjuk sebab yang dikeluarkan mengikut Seksyen 13(2) Akta Pertubuhan telah diterima pihaknya.

Sementara itu, Adenan membidas DAP mengenai program ke kawasan pedalaman atau 'Impian Sarawak' di negeri itu yang dianggapnya sebagai politik 'tokenism' iaitu hanya untuk menunjuk-nunjuk.

Beliau berkata projek kecil DAP itu di beberapa kampung di kawasan pedalaman boleh diumpamakan 'ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung'.

"Sebaliknya seekor penyu yang mengeramkan 100 biji telur hanya berdiam diri," katanya sambil merujuk projek besar yang dilaksanakan kerajaan BN.

DAP menuduh BN menafikan hak asasi masyarakat luar bandar dan berikrar di bawah 'Impian Sarawak & Sabah' mereka akan menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan elektrik kepada penduduk kampung.

Bagaimanapun, pemimpin BN Sarawak juga menyifatkan usaha DAP itu sebagai ketinggalan zaman kerana kerajaan BN melakukan projek lebih besar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri itu termasuk di kawasan luar bandar.

-- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget