Ahli Parlimen Islam diseru sokong pinda Akta 355


PASIR PUTEH - Dewan Ulama Pas menyeru semua ahli Parlimen beragama Islam bersatu dan memberi sokongan kepada usaha parti itu meminda Akta 355 bagi memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Ketuanya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, sokongan itu amat diperlukan kerana pemerkasaan terhadap institusi perundangan tersebut memberi manfaat kepada umat Islam secara keseluruhan.

"Kita menunggu lebih setahun selepas Persidangan Dewan Undang-undang Negeri Kelantan meluluskan pindaan pada Mac tahun lalu, barulah kita berjaya membentangkannya di Parlimen.

"Ini satu kejayaan buat Pas dan kita menyeru semua ahli Parlimen beragama Islam membuka hati memberi sokongan untuk memartabatkan syariat Islam," katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat Ke-55 di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Hassan Mahmood.

Mahfodz dalam pada itu berkata, Pas juga bersedia menjalinkan 'tahaluf siyasi' atau kerjasama politik baharu dengan mana-mana parti di negara ini asalkan membawa kebaikan atau menguntungkan Islam.

"Sejak 1982 Pas berterusan dan istiqamah mengadakan hubungan 'tahaluf siyasi' atas nama Islam dengan pelbagai kumpulan," katanya.

Beliau dalam pada itu menyelar mana-mana pihak yang cuba menyekat usaha Pas memperkasakan perundangan Islam dengan cara menabur racun secara halus.

“Janganlah kendurkan perjuangan Pas ini kerana kami tidak akan berganjak atau berundur,” katanya. 

- UTUSAN ONLINE

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget