Islam tidak galak pecat pemimpin


KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, amalan politik melampau yang tidak berakhlak dan menolak amalan kebaikan demi menjatuhkan orang lain kini sedang berlaku.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, konsep tersebut bertentangan dengan ajaran Islam yang tidak menggalakkan perbuatan memecat pemimpin, sebaliknya agama itu mendidik umatnya untuk membetulkan pemimpin yang melakukan kesalahan.

Tegasnya, revolusi politik Arab Spring adalah bukti perbuatan politik melampau yang menyebabkan beberapa negara Arab menjadi porak-poranda sehingga hari ini.

“Kita tidak boleh berhenti daripada berpolitik, politik sebahagian daripada masyarakat, sebahagian daripada kehidupan manusia tetapi masalahnya kita berpolitik melampau sehingga meninggalkan akhlak dan perkara yang baik.

“Arab Spring adalah contoh musim bunga yang tidak berbuah. Mereka memecat pemimpin sehingga melibatkan campur tangan asing yang memporak-porandakan negara,” katanya ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Situasi politik tanah air panas ketika ini berikutan kewujudan pakatan Dr. Mahathir-pembangkang yang dibentuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beberapa pemimpin UMNO dan pemimpin pembangkang daripada DAP, PKR dan PAN.

Pakatan berkenaan dilihat cuba mengheret rakyat untuk bersetuju menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah melalui jalan yang tidak demokratik.

Abdul Hadi berkata, Pas juga tidak bersetuju dengan beberapa dasar kerajaan, namun parti itu mengambil pendekatan bersabar bukannya bertindak melampau.

“Pas menyertai politik negara sejak sebelum merdeka, parti-parti lain ada yang baru ditubuhkan, kita kalah, kita bangun dan menang, pernah ada kerusi dan tidak ada kerusi langsung.

“Islam tidak menggalakkan memecat pemimpin tetapi membetulkan pemimpin, kena bersabar membetulkan pemimpin. Yang penting kita tidak mengacau rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, ketika membahaskan hukum hudud, beliau berkata, beberapa hukuman yang ditetapkan seperti memotong tangan untuk kesalahan mencuri sengaja dijadikan senjata oleh beberapa pihak bagi memastikan hukum Islam itu dihalang.

Tambahnya, jika hukum hudud dilaksanakan, orang bukan Islam tidak perlu takut kerana ia hanya dikhaskan kepada orang Islam sahaja.

-Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget