Kiasan ‘babi’ oleh Abdul Hadi yang sebenarnya membuang masa


PANDANGAN: Sepanjang minggu lalu, ada dua perkara yang menjadi viral di media sosial saya.

Perkara pertama adalah twit dari seorang kawan dan perkara kedua adalah petikan ucapan seorang presiden parti.

Kedua-duanya ada satu persamaan – perkataan berhuruf empat itu.

Ia adalah “babi” – perkataan yang sering digunakan untuk tujuan menghina. Dan ia perlu disebut dalam bahasa Melayu untuk memberi kesan yang diinginkan.

Kawan saya meluahkan apa yang datang ke fikirannya secara rawak. Barangkali di fikiran ramai yang lain juga.

“Mengapa anda menghina seseorang dengan menyebut makanan kegemaran mereka? Sama seperti menghina Melayu (dengan berkata) KFC,” katanya di twitter.

Secara kebetulan pula, seorang kawan yang lain turut berkongsi perbualan bersama bapanya.

Kawan: Bakon adalah perkara terbaik di dunia ini.

Bapa: Tidak, ia adalah perkara kedua terbaik.

Kawan: Jadi apa yang terbaik?

Bapa: Bakon yang banyak!

Jelas, mereka tidak akan rasa terhina jika ada yang memanggil mereka ‘babi’ – walaupun bagi sebahagian orang, haiwan itu dikaitkan dengan kekotoran dan sifat tamak.

Saya perlu akui yang ada kalanya saya juga bersalah melakukan perkara yang sama, walaupun saya sentiasa boleh meminta maaf jika perlu.

Tambahan pula saya bukanlah ‘twitfemes’ atau ‘twitteretis’ – istilah yang diberikan kepada ‘selebriti’ internet.



Dan tentunya saya bukan presiden parti Islam atau ulama’ yang dihormati.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mencetuskan semacam kegemparan ekoran ucapannya di Kongres Rakyat di Shah Alam Sabtu lalu. Acara itu dianjurkan oleh gabungan NGO yang berkaitan dengan parti PAS.

Menurut laporan, kongres tersebut dianjurkan sebagai pentas untuk semua peserta bertukar pandangan tentang isu yang memberi kesan kepada rakyat.

Dalam ucapan dasarnya, Abdul Hadi juga menafikan bahawa usaha PAS menganjurkan Kongres Rakyat sebagai membuang masa, dengan menggunakan pepatah Melayu ‘bagai anjing menyalak bukit’.

“Orang boleh kata kita membuang masa. Seperti anjing yang menyalak bukit.

“ Kita bukan menyalak dekat bukit, tapi kita menyalak dekat ‘babi’ dalam bukit,” katanya disambut sorakan dan laungan takbir oleh hadirin.

Abdul Hadi kemudian berkata, penganjur kongres tidak kisah jika dilihat sebagai membuang masa mereka.

“Kita ‘menyalak’ pada kelemahan yang sedang berlaku. Najisnya kena pada semua. Marilah kita selesaikan masalah ini dengan sebaik mungkin,” katanya yang sebelum itu menyentuh secara tidak langsung pergaduhan dalaman PAS, Umno dan parti-parti lain.

Walau siapa pun yang dirujuk Abdul Hadi sebagai ‘babi’ dalam ucapannya, hakikat yang beliau telah menggunakan perkataan tersebut bertentangan dengan statusnya sebagai ulama’ yang dihormati.

Pemerhati juga berkata bahawa ketika berhadapan kritikan - sama ada dari dalam parti sendiri atau bekas parti komponen Pakatan Rakyat, ‘salakan beliau biasanya lebih teruk daripada gigitan’.

Abdul Hadi sebelum ini pernah menggunakan perkataan “anjing” dan “serigala” ketika menyifatkan seteru politiknya, dipercayai ditujukan kepada beberapa pemimpin DAP dan PKR.

Dalam kebanyakan kes, penggunaan kata-kata seperti itu hanya menunjukkan karakter mereka yang membuat penghinaan itu sendiri, kerana penerimanya kemungkinan besar tidak merasa terhina. Atau dalam kes ini, mereka tidak sedar pun yang mereka sedang dihina.

Dan pada akhirnya, ‘salakan’ seumpama ini yang telah menjadi mercu tanda kepimpinan Abdul Hadi dan kumpulan ulama’ konservatif dalam PAS.

Kedua-dua pemimpin dan penyokongnya itu cenderung untuk membuat kenyataan yang celupar dan tidak berasas, disulami dengan anekdot tentang seteru mereka. Ia jelas tidak mencerminkan keterampilan mereka sebagai orang yang warak.

Apatah lagi ‘salakan’ mereka biasanya tidak menghasilkan apa-apa. Sama seperti apa yang dikatakan sebagai ‘kerjasama’ hudud dengan Umno. Setakat ini isu itu hanya menyebabkan mereka terus terpinggir dan hilang sokongan.-The Ant Daily (Alyaa Alhajdri)

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget