Jumlah itu adalah jumlah yang diakui sendiri oleh Najib, ahli Majlis Tertinggi (MT), Bahagian dan Cawangan Umno, menteri-menteri, SPRM, PDRM dan semua aparat kerajaan yang mahu mempertahankan bahawa duit itu bukan rasuah atau duit 1MDB tetapi duit Umno dari derma seorang dermawan Arab. Anina sekadar menyatakan bahawa duit yang dilarikan dari akaun amanah di Malaysia ke akaun bank sulit di Singapura yang bukan milik Umno menjadikan itu satu pecah amanah dan perlu dikembalikan kepada Umno.
Anina melakukan apa yang tidak berani dilakukan oleh ramai rakyat Malaysia apatah lagi ahli Umno. Anina menyatakan bahawa Fasal 6 Perlembagaan Umno mewajibkan dirinya mempertahankan Umno oleh kerana semua ahli MT tidak berani berhadapan dengan Putera Bugis yang berani membangsatkan parti dan bangsa sendiri demi kerakusan kuasa dan harta.
Anina berpegang kepada prinsip Amr Ma’ruf Nahy Mungkar dalam menegakkan kebenaran demi mempertahankan maruah agama bangsa dan negara dari tercemar. Malah, tindakan Anina mendapat pujian dan sokongan dari Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, apakah tindak balas YM Tengku Dato Seri Adnan Mansur? Dengan bangga dan bongkak KuNan memecat Anina. KuNan menghebahkan pemecatan lebih awal dari surat pemecatan dikeluarkan. KuNan berbuat demikian demi menghina Anina untuk menunjukkan kuasa bahawa KuNan adalah Setiausaha Agung dan Anina hanya ahli wanita yang kerdil dari pulau di hujung semenanjung.
Kemudian bila Tan Sri Megat Najmuddin, Pengerusi Tribunal Disiplin menegur bahawa langkah KuNan salah dan sumbang prosedur kerana tidak langsung mematuhi peraturan parti, KuNan tidak dapat menerima teguran dengan baik. Sebaliknya, KuNan bersikap lebih angkuh dan takabbur. KuNan mendebak dada mengatakan dia boleh pecat siapa dia suka dan Anina boleh samannya di mahkamah dan dia akan lawan. KuNan juga terus menghina Anina dengan memanggilnya anai-anai iaitu serangga yang lebih kecil dari semut.
KuNan memang orang besar, derajat bangsawan dan juga berpangkat Dato Seri. KuNan memang orang besar parti berjawat Setiausaha Agung dengan kuasa memecat semua yang dia tak suka. KuNan memang kaya raya boleh gajikan peguam-peguam hebat mempertahankan kesumbangan dirinya sehingga yang salah pun jadi benar. Tapi apakah perlunya KuNan menghina Anina sebagai lebih kecil dari semut? Apa perlunya KuNan menghina dan merubah nama Anina menjadi AnaiAnai?
Tidakkah KuNan dapat menerima dalam sistem demokrasi berparlimen seseorang yang tidak berpuashati boleh merujukkan hal itu ke Mahkamah? Bukankah Mahkamah memang forum penyelesaian perbezaan dan pertikaian? Lalu kenapa KuNan menghalang Anina dengan memecatnya secara sungguh terhina tanpa mematuhi peraturan parti, tanpa diberikan amaran dan hak untuk didengar, tanpa mengendahkan nasihat Pengerusi Tribunal, tanpa langsung mengikuti prinsip-prinsip keadilan dalam Islam sedangkan Umno itu parti Melayu dan Melayu itu tunggaknya Islam? Kenapa Ku Nan? Dan apa perlunya KuNan menghina Anina dengan panggilan AnaiAnai?
Pokoknya, apakah kesalahan Anina dan apakah yang dipertahankan KuNan? Apakah tidak benar segala yang dikatakan Anina? Bukankah tuntutan Anina berlandaskan apa yang diakui dan dikatakan secara umum oleh Najib dan konco-konconya sendiri? Bukankah benar MT telah menjadi tali barut seorang pemecah amanah yang mencuri duit parti dan melarikan duit RM2.6 bilion itu ke Singapura? Jika semua itu benar kenapa KuNan tidak menjalankan tanggungjawab, malah bersekongkol menjadi talibarut si pesalah laku?
Jika Anina itu AnaiAnai, maka orang macam KuNan adalah barah dalam Umno yang akan merosak dan membunuh parti. Dan jika sel barah itu tidak dihapuskan dari bibitnya maka ia akan merebak keseluruh akar umbi parti. Salahkah Anina mengambil tindakan untuk mengubati Umno yang di kepalanya telah dicemari dan dirasuki penyakit serius ini? Salahkah Anina menyedarkan bahawa Najib, KuNan dan sekutunya bukan sayangkan parti tapi memusnahkan parti? Salahkah Anina mengingatkan bahawa Fasal 6 Perlembagaan Umno ialah tentang Kesetian Kepada Parti dan bukan Kesetiaan Kepada Pemimpin yang buat onar. Malah pepatah Melayu mengatakan, “Raja adil raja disembah Raja zalim raja disanggah”.
Dalam sistem demokrasi hari ini, pepatah itu bukan sahaja ditujukan kepada raja tapi juga kepada Pemerintah kerana yang memerintah negara bukanlah raja tapi parti yang memerintah. Masyarakat moden mahukan demokrasi dimana rakyat menentukan halatuju negara melalui wakil rakyat dan jemaah menteri tetapi bukan untuk menjadikan menteri-menteri sebagai orang-orang yang berlagak lebih buruk dari raja yang zalim bak pepatah, “Beraja dimata Bersultan di hati”. Ini lah Umno hari ini. Ini lah penyakit Najib dan KuNan yang mahu membangsatkan bangsa sendiri!
Anina memang tidak ada duit untuk lawan KuNan. Anina memang gunakan firma Melayu kecil untuk mulakan tindakan kerana dia tidak mampu. Tapi orang Melayu dan rakyat Malaysia akan jadi muak dan marah dengan keangkuhan KuNan. Dan bila mereka bersatu dan membantu, akan ramai peguam-peguam Melayu dan bukan Melayu yang lebih hebat dari firma besar dari peguam KuNan dan Umno. Rakyat akan bersatu menolak kemungkaran. Jadi behati-hatilah bila menghina orang kerdil.
KuNan jangan angkuh dan takabbur. Allah tidak menyukai orang-orang yang takabbur. Ingatlah Allah menghukum Firaun ditelan lautan. Ingatlah orang Melayu memerhati, Rakyat Malaysia memerhati.
Ingatlah ini boleh menjadi lautan yang menenggelamkan keangkuhan KuNan.-Free Malaysia Today (Suhaimi Embong)
Post a Comment
Walau kita nak menafikan sekuat mana sekalipun, rasuah tetap sudah berlaku. Bukan sedikit, RM2.6B sememangnya adalah rasuah yang diambil oleh Najib. Duit tersebut bukan untuk parti atau negara, tapi atas kapasiti peribadi. Diburukkan lagi, apabila wang tersebut telah mengalir keluar pula ke akaun peribadinya di Singapura, Kalau masih ada yang secara jujurnya mengakui bahawa ianya bukan rasuah, terpulanglah kepada penilaian sendiri. Rasanya kita mempunyai IQ untuk menilai sendiri. Semua itu tidak penting. Apa yang lebih penting, kita mesti lebih bertanggungjawab kepada parti, tidak sepatutnya UMNO terpalit dengan rasuah yang mengakibatkan imej parti terjejas teruk. Kalau kita masih lagi di tahap penafian sedangkan satu dunia sudah membuat kesimpulan berdasarkan bukti-bukti sahih. Apakah kita rasa UMNO masih dapat bertahan dalam PRU akan datang. Kenapa UMNO perlu dikorbankan hanya kerana kepentingan seorang individu yang sepatutnya bertanggungjawab dengan apa yang sudah dilakukan. Individu yang sanggup memecat sesiapa saja walaupun tidak bersalah hanya untuk mempertahankan kelangsungan politiknya sendiri. Apakah sebegini rendah tahap perjuangan UMNO yang kita laung-laungkan selama ni. Kalau kita juga berjuang untuk individu tertentu, apa bezanya UMNO dgn PKR dgn Anwarnya, DAP dgn Kit Siangnya dan PAS dgn Nik Aziznya. Bila Anwar masuk penjara, PKR sudah lemah. Bila Nik Aziz meninggal, PAS juga sudah lemah. Fikir-fikirkanlah wahai ahli UMNO, siapa sebenarnya pengkhianat UMNO. Yang mempertahankan perasuah atau yang mempertahankan prinsip-prinsip UMNO yang tidak bersekongkol dengan pemimpin yang mengamalkan Rasuah?