Polis tanya 37 soalan kepada Tun M

Bekas perdana menteri itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan memfitnah.

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menyiasat dan mengemukakan 37 soalan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataannya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu berada di bawah ‘tahanan rumah’.

Peguam Mahathir, Ahmad Bazlan Che Kasim berkata bekas perdana menteri itu menjawab semua soalan yang dikemukakan polis.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes itu juga diklasifikasikan sebagai kesalahan memfitnah.

“Persoalan hari ini berkisar mengenai satu laporan yang dibuat seorang lelaki ketika menghadiri satu acara di Villa Subang dan Tun Mahathir disiasat mengenai kenyataan beliau Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu berada di bawah ‘tahanan rumah’.

“Sejumlah 37 soalan dikemukakan kepada Tun Mahathir dan beliau memberi respons kepada semua soalan,” katanya kepada pemberita di depan Yayasan Al Bukhary Foundation, Taman Tasik Perdana, di sini hari ini.

Bazlan berkata Mahathir disoal siasat selama 30 minit iaitu dari jam 3.20 hingga 3.50 petang oleh empat pegawai polis.

Katanya, kira-kira 80% daripada soalan yang ditanya itu mengenai Deklarasi Rakyat.

“Sebahagian besar soalan yang ditanya ialah mengenai Deklarasi Rakyat.

“Soal siasat hari ini berjalan dengan baik. Untuk hari ini soal siasat selesai. Ini kali ketiga Tun Mahathir disiasat polis,” katanya.

Sebelum itu, Mahathir mendedahkan beliau tidak dapat bertemu Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan tandatangan yang dikumpulkan dalam Deklarasi Rakyat.

“Setakat ini saya tak dapat bertemu dengan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana kemungkinan baginda juga berada dalam keadaan house arrest (tahanan rumah),” katanya.

Mahathir membuat dakwaan mengejutkan itu pada satu sesi dialog di Subang Jaya.-Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget