Hadi bukan wakil Tuhan, kata Khalid Samad

Amaran Hadi itu menunjukkan PAS tidak menghormati suara pengundi, kata AMANAH.

PETALING JAYA: AMANAH hari ini berkata adalah salah untuk mana-mana parti mendakwa ia parti pilihan Tuhan, selepas amaran presiden PAS kepada pengundi di Sungai Besar mereka berdepan kemurkaan Ilahi jika memilih ahli parlimen salah pada 18 Jun ini.

“Ia hanya menyerlahkan cara pemikiran mereka (PAS),” kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, kepada FMT hari ini.

“PAS dan presidennya (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang perlu menerima kenyataan yang mereka tidak mewakili Tuhan.”

Menurutnya, walaupun beliau bersetuju pilihan parti politik boleh mendatangkan kesan di dunia dan akhirat, tidak ada parti politik berhak mengaku diri sebagai wakil Tuhan.

“Sekiranya mereka percaya apa yang mereka lakukan adalah betul, maka menjadi tanggungjawab mereka meyakinkan orang ramai daripada menggunakan politik dosa dan celaka,” kata Khalid.

Semalam, Hadi dilaporkan berkata pengundi di Sungai Besar akan ditimpa kecelakaan sekiranya memilih ahli Parlimen yang salah.

Menurut Hadi, calon PAS, Dr Abdul Rani Osman melafazkan bai’ah tidak akan menyimpang prinsip parti Islam itu.

“Kalau khianat akan dilaknat oleh Allah,” Hadi dilaporkan berkata.

Khalid, bagaimanapun, berkata PAS perlu sedar terdapat pelbagai kaedah melaksanakan perintah Tuhan.

Katanya, kaedah PAS tidak semestinya dipersetujui semua.

PAS baru-baru ini membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan.

“Apa yang dibuat PAS merupakan usaha yang tidak semestinya dipersetujui semua dari segi pendekatan dan keutamaannya,” kata Khalid, sambil menambah kenyataan Hadi itu hanya membukti PAS tidak menghormati pilihan pengundi.-Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget