Adenan hanya pilih calon boleh menang


KUCHING - Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengambil masa untuk mengumumkan calon langsung Barisan Nasional (BN) kerana beliau ingin memastikan calon yang dipilihnya terdiri daripada mereka yang diterima baik oleh rakyat dan boleh meraih kemenangan.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, tiada gunanya mempunyai ketua menteri popular seperti Adenan sekiranya calon yang dikemukakan tidak popular dalam kalangan rakyat dan mungkin kalah dalam pilihan raya.

Menurutnya berdasarkan penyelidikan yang dilakukannya selama lapan bulan melibatkan semua kumpulan etnik di Sarawak, beliau mendapati adanya 22 kerusi bermasalah daripada 82 kerusi yang akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri ke-11 akan datang.

“Kerusi ini boleh bertukar kepada kelabu dan putih menjelang kempen pilihan raya akan datang, bergantung kepada calon yang dipilih serta strategi kempen," katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata, kelewatan itu juga berpunca daripada perebutan kerusi antara parti-parti komponen BN dan parti mesra BN.

“Terdapat juga kerusi yang mempunyai begitu banyak peminat, sebagai contoh di Ba Kelalan, dan banyak perbuatan melobi oleh individu yang ingin menjadi calon BN.

“Di kerusi tertentu (contohnya), di mana ketua menteri sudah mengumumkan calonnya, kemudian didapati ada calon lain yang berminat dan beliau pula lebih popular serta mampu menang," kata Jeniri.

Seorang lagi penganalisis politik, Datuk Peter Minos pula berkata, ketua menteri perlu mendapatkan konsensus dan kompromi antara parti-parti komponen BN yang bersaing, bagi mengelak berlakunya perpecahan.

Bekas timbalan ketua publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, sebarang perasaan tidak puas hati dalam kalangan parti komponen BN bagi sesuatu kerusi, akan memberi kelebihan kepada pembangkang dan ketua menteri mahu mencegah keadaan itu daripada berlaku kerana beliau tidak mahu pembangkang menang kerananya.

“Formula calon langsung BN merupakan satu-satunya pilihan yang ada apabila parti komponen BN di sesuatu kawasan tidak mencapai persetujuan tentang pemilihan calon berdasarkan status kawasan itu," kata Minos, yang mengetuai jawatankuasa kecil publisiti PBB bagi pilihan raya negeri kali ini.

Beliau berkata, formula calon langsung BN telah diguna pakai pada pilihan raya Parlimen lepas di Sarawak bagi kawasan Hulu Rajang dan Mambong, serta terbukti membawa kejayaan.

Minos berpendapat, calon langsung BN adalah seseorang yang perlu mampu menang berdasarkan merit, diterima baik oleh pemilih serta rakyat dan seseorang yang disukai ramai.

Menurutnya adalah suatu kelebihan tambahan sekiranya calon itu tidak mempunyai masalah serius dengan mana-mana parti atau tokoh penting di kawasannya.

"Ambil Datuk Dr Jerip Susil (penyandang bagi kerusi Bengoh dan Menteri Muda Kesihatan Awam dalam Kabinet Adenan), beliau diumumkan sebagai calon langsung BN bagi Mambong sebab ketua menteri melihatnya sebagai seseorang yang mendapat konsensus dan mempunyai hubungan baik dengan semua pihak serta tidak mempunyai musuh politik secara khusus di Mambong,” jelas Minos.

Dr Jerip, katanya, memiliki kelebihan kerana merupakan penyandang dan mempunyai sesuatu untuk ditunjukkan berdasarkan kerja dan pencapaiannya selama ini. 

- Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget