Penduduk diarah pindah tanpa notis


PULAU PINANG  - ‘Buntu, kecewa dan berang,’ itu yang diluahkan sekumpulan kira-kira 30 penduduk kampung pesisir pantai (Foreshore) di Jalan C.Y. Choy di sini apabila mereka diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing hujung bulan ini tanpa sebarang perbincangan.

Malah lebih mengecewakan apabila arahan terbabit dikeluarkan pihak pemaju yang terlibat dalam projek pembangunan perumahan melibatkan tapak rumah penduduk terlibat tanpa sebatang notis atau surat arahan yang jelas.

Seorang penduduk, Tay Kooi Chooi, 54, berkata, tindakan pemaju perumahan berkenaan amat mengecewakan kerana tiada sebarang usaha turun padang bertemu penduduk dilakukan mereka sebelum ini.

Tegasnya, tanpa seberang pertemuan dan perbincangan, pihak pemaju tiba-tiba mengarahkan dia bersama penduduk lain yang terlibat mengosongkan rumah masing-masing hujung bulan ini.

“Pemaju seolah-olah lepas tangan terhadap nasib kami apabila arahan perpindahan ini dilakukan tanpa sebarang surat rasmi yang diberikan kepada penduduk.

“Terdapat 54 buah rumah melibatkan kira-kira 200 penduduk yang menerima notis arahan mengosongkan rumah didiami ini tetapi tiada sebarang ruang perbincangan dibuka untuk penduduk terlibat.

“Tiba-tiba kami diberi notis dengan tempoh masa yang amat singkat. Apakah pemaju tidak terfikir kesusuhan kami? Mana kami mahu pindah? Sudahlah tiada sebarang khabar mengenai pampasan untuk kami, terus sahaja mahu kami pindah,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan di sini hari ini.

Terdahulu petugas media difahamkan kemelut yang dihadapi penduduk kampung berkenaan membabitkan projek pembangunan 803 unit rumah yang bakal didirikan di tapak rumah penduduk terlibat.

Malah projek terbabit yang bakal dibangunkan dengan 482 unit rumah kos sederhana dan 321 unit rumah kos sederhana rendah itu juga dimaklumkan melibatkan program penempatan semula membabitkan penduduk terlibat.

Tambah Kooi Chooi apa yang lebih merunsingkan dirinya kini adalah namanya tidak tersenarai dalam sistem di pejabat daerah sedangkan rumah didiami terlibat dengan projek berkenaan.

“Saya telah pergi ke Pejabat Pegawai Daerah di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebelum ini dan terkejut apabila diberitahu nama saya tiada dalam sistem di­sebabkan rumah didiami didaftarkan atas nama datuk saya yang telah meninggal dunia.

“Sepatutnya pihak pemaju perlu adakan perjumpaan dan perbincangan dengan semua penduduk terlibat terlebih dahulu supaya sebarang masalah berbangkit seperti yang saya hadapi ini boleh diselesaikan. Bukan sekadar hantar wakil semata-mata,” tegasnya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget