PETALING JAYA – Balu penyiasat persendirian, mendiang P.Balasubramaniam mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana menuduhnya membunuh suaminya pada 2013.
A.Santamil Selvi membuat permohonan maaf itu di pejabat Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao di sini, semalam sambil mengakui telah melakukan kesilapan itu kerana tertekan.
“Selepas kematian suami saya, PKR bawa saya pergi ceramah sana sini, masa itu saya terlepas cakap, masa itu saya betul-betul kecewa sebab Bala tiada, saya terlepas cakap Datin yang bunuh suami saya.
“Tiada siapa yang hasut saya, saya sendiri terlepas cakap, sebab saya betul-betul geram pada masa itu, keadaan kami tertekan kerana kena lari dari Malaysia, kemudian balik Malaysia, suami pula sudah tiada,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Balasubramaniam berperanan dalam dua akuan bersumpah berhubung kes pembunuhan warga Mongolia Altantuyaa Shaariibu pada 2006.
Bagaimanapun Balasubramaniam meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di sebuah klinik di Rawang, pada 15 Mac 2013.
Selvi juga mendakwa beliau dan keluarga telah diperdaya oleh pemimpin parti pembangkang selepas kematian suaminya dalam membantu membiayai pendidikan anak-anaknya.
“Saya dan mendiang suami saya tertipu dengan segala janji yang telah diberikan oleh pihak tertentu. Sehingga akhir hayat mendiang suami saya, mereka tidak tunaikan apa-apa yang telah dijanjikan.
“Minggu lepas saya pergi ke pejabat parti politik, saya presiden parti itu, (namun) dia kata sibuk dengan sidang Parlimen, dia kata akan hantar orang pergi jumpa saya nak bagi duit. Tapi sampai sekarang dia tak datang. Bila saya telefon, dia kata sibuk,” dakwanya.
Sementara itu, aktivis NGO itu, Ramesh pula mengakui kehadiran Sevil menemui beliau adalah untuk mendapatkan bantuan pendidikan anak-anak mendiang Balasubramaniam selepas pemimpin parti politik tertentu gagal menunaikan janji mereka.
“Saya beritahu dia (Sevil), selain pendidikan, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat ada geran untuk ibu tunggal, jadi saya beritahu dia, kita akan bantu dia mohon skim ini, ada kursus jahitan dan sebagainya.
“Apa salahnya dia cuba minta geran ini, untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan untuk teruskan hidup, tak perlu bergantung kepada sesiapa lagi selepas ini. Jadi kita akan cari jalan keluar, supaya dia boleh berdiri dengan sendiri, itu yang lebih penting,” jelasnya.
Ramesh juga berkata, pihaknya akan membuat kutipan amal bagi mengumpul dana sebanyak RM20,000 bagi membantu Sevil membiayai kos pendidikan anak-anaknya di sebuah pusat pengajian tinggi.
“Dana ini hasil daripada perniagaan saya sendiri, bukan bantuan BN, dan beberapa rakan lain bagi membantu anak-anak Sevil. Tiada kaitan dengan kes mendiang Balasubramaniam sebelum ini,” katanya lagi.
- Sinar Online
Post a Comment