‘Ratu Naga’ mengaku tidak bersalah hina PM


SEPANG – Seorang perun­ding kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menghantar komen bersifat menghina Perdana Menteri menerusi laman sosial Facebook, hujung tahun lalu.

Syarul Ema Rena Abu Samah, 35, me­ngaku tidak bersalah selepas pertuduhan di­bacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh yang berada di luar kandang pesalah sebagai orang kena saman (OKS) dan berpakaian kot serba hitam hanya tersenyum sinis.

Dia yang menggunakan nama samaran ‘Ratu Naga’ di Facebook didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) de­ngan niat untuk me­nyakitkan hati orang lain.

Wanita tersebut didakwa memuat naik komen tersebut di Facebook pada pukul 12.02 tengah ma­lam, 6 Oktober 2015.

Komen itu telah dibaca pada pukul 10 pagi, 28 Januari lalu di alamat Tingkat 8, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tower 1, Jalan Impact Cyber 6, Cyberjaya, Selangor.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau ke­dua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh yang mengenda­likan pendakwaan menawarkan ikat jamin antara RM3,000 hingga RM7,000 berdasarkan hu­kuman maksimum sebanyak RM50,000 yang diperuntukkan dalam akta tersebut dan kesa­lahan serius menghina pemimpin negara.

“OKS telah membuat penghantaran komen kepada pemimpin nombor satu negara kita. Bagi menjamin OKS hadir ke mahkamah, mohon jumlah jaminan yang munasabah,” katanya.

Syarul Ema Rena yang tidak diwakili peguam pula memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia hanya berpendapatan RM3,000 sebulan dan berdepan masalah kewangan.

Kes disebut semula pada 22 Mac ini.

-Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget