Penculikan lebih bermotifkan wang, bukan agama

Penyelesaian dari sudut ekonomi perlu dicari tamatkan siri penculikan membabitkan rakyat Malaysia

KUCHING: Penyelesaian dari sudut ekonomi perlu dicari bagi menamatkan beberapa siri penculikan membabitkan rakyat negara ini.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata ini kerana insiden penculikan berlaku ketika ini tidak lagi berkaitan isu keagamaan tetapi lebih kepada wang.

Menurutnya selagi manusia dianggap sebagai komoditi perdagangan, penculikan akan menjadi ‘perintah harian’ yang akan dilakukan bagi memperoleh pendapatan lumayan.

“Tiada lagi tempat yang selamat! Ia boleh berlaku di darat, laut seterusnya bandar kita.

“Insiden penculikan yang berlaku dewasa ini bukan lagi disebabkan isu keagamaan. Ia adalah soal wang, keuntungan.

“Oleh itu kita harus mencari penyelesaian dari sudut ekonomi, bagaimana menjadikan penculikan satu perniagaan yang berisiko kepada penculik,” katanya.

Beliau berkata dengan penyelesaian itu, penculik akan berasa tindakannya itu tidak berbaloi jika pada masa sama menghargai kehidupan.

Sehubungan itu, katanya rundingan dengan penculik tidak perlu sebaliknya negara menerusi anggota keselamatan melindungi wilayah Malaysia dengan bersungguh-sungguh dan jika perlu menggunakan kekerasan.

“Kita lupakan mengenai wilayah asing dalam usaha mendapat semula atau menyelamat rakyat negara kita yang diculik.

“Di mana sahaja rakyat kita disembunyikan ia sudah tentu di negara asing, kita memburu penculik-penculik ini.

“Penganas-pengganas terbabit tidak memahami undang-undang. Kenapa kita perlu mengambil tindakan berhati-hati dengan mereka atau negara tempat mereka bersembunyi,” ujarnya.

Masing berkata amaran keras harus diberi kepada negara tempat penculik bersembunyi dan pada masa sama mengambil tindakan sewajarnya serta pantas kerana mereka hanya menghormati ‘kekuatan dan senjata’.

“Kawasan perairan timur Sabah, mengingatkan saya kepada laut-laut di Somalia, lanun-lanun di situ bebas merompak atau mendapatkan kapal-kapal yang melalui perairan tersebut.

“Sekarang laut-laut di kawasan itu (Somalia) agak selamat berbanding sebelum ini. Bagaimana mereka melakukannya? Belajarlah daripada pasukan keselamatan negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden penculikan empat rakyat Malaysia yang berasal dari Sibu diculik oleh lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, dekat Semporna, Sabah kira-kira jam 6.15 petang Jumaat lepas.

Mereka yang diculik ialah Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chi, 29, (adik beradik), Johnny Lau Jung Hien, 27 dan Wong Hung Sing, 34.

Bernama melaporkan mereka merupakan antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

Dilaporkan kapal berkenaan turut membawa lima lagi individu yang masing-masing warga Myanmar dan Indonesia tetapi mereka dilepaskan oleh kumpulan bersenjata tersebut.

November tahun lalu negara dan rakyat Sarawak khasnya dikejutkan dengan insiden pembunuhan kejam rakyat Sarawak Benard Then, 39, selepas mendiang bersama pengurus sebuah restoran Thien Nyuk Fun, 50, (rakyat Sabah) di Sandakan diculik sekumpulan bersenjata pada 14 Mei 2015.

Pada 8 November 2015, pada mulanya kumpulan bersenjata itu (kumpulan Abu Sayyaf) menuntut RM2.7 juta atau 30 juta peso sebagai wang tebusan untuk membebaskan Then dan Thien.

Dilaporkan kumpulan berkenaan hanya melepaskan Thien selepas mendapatkan RM2.7 juta dan meminta wang tebusan tambahan jika mahu Then dibebaskan.

Namun Then dipenggal kepalanya di lokasi terpencil di Kepulauan Jolo pada 11 November lalu dan kepalanya dikatakan ditemui kira-kira seminggu kemudian.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget