KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing menyelar tindakan sesetengah pihak yang menyemarakkan sentimen berbaur hasutan perkauman dan agama, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurutnya, tindakan tersebut menular dalam kalangan Dayak terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, Samalaju, malah turut tersebar luas di seluruh Bintulu.
“Ada pihak yang tidak bertanggungjawab bertindak menghasut bangsa Dayak supaya tidak mengundi calon Cina, malah mengatakan supaya jangan bagi orang Cina menang, lebih baik sokong bangsa sendiri.
“Saya amat tidak bersetuju sama sekali pihak ini mempergunakan sentimen perkauman untuk memenangi PRN.
“Ia bukan sahaja merosakkan kesejahteraan negeri kita, bahkan turut mengganggu gugat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara kita dan ini merupakan tindakan yang tidak betul,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bintulu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin SPDP Bersama Rakyat di Rumah Saka, Batu 67 Jalan Miri-Bintulu, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, wakil rakyat atau calon seharusnya berkhidmat dengan telus dan ikhlas untuk memenangi hati rakyat, bukannya memperalatkan isu sentimen memecahbelahkan rakyat.
Pada masa sama, Tiong juga menyarankan agar ketua masyarakat mengambil perhatian dan cuba menghentikan penyebaran khabar angin seumpama itu yang disifatkannya boleh mendatangkan kesan negatif kepada perpaduan penduduk tempatan.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 3,000 penduduk tempatan serta penyokong termasuk 53 tuai rumah dari kawasan setempat.
Kesemua tuai rumah tersebut adalah daripada SPDP Bahagian Jepak, Tanjung Batu dan Kemena manakala ada juga antara mereka dari rumah panjang di kawasan sekitar Jalan Miri-Bintulu.
Turut hadir Pengerusi SPDP Cawangan Kidurong merangkap calon berpotensi DUN Samalaju Datuk Pau Chiong Ung, Pengerusi Protem Samalaju Tuai Rumah Merudi Jalin serta Penasihat Protem Samalaju Hillary Mawan.
Menyentuh isu sama, Hillary berkata ahli dan penyokong SPDP termasuk penduduk setempat perlu tegas dengan prinsip yang dipegang selain tidak mudah mempercayai khabar angin yang bertujuan memecahbelahkan parti.
“Khabar angin tersebut memperalatkan isu perkauman dan menakutkan penduduk tempatan, tambahan pula pihak tersebut sanggup menggunakan duit untuk mendapatkan sokongan.
“Untuk makluman, SPDP telah lama turun padang untuk berkhidmat dan bukan seperti pihak tertentu yang hanya muncul apabila pilihan raya tiba, justeru saya berharap penduduk dan penyokong bijak menilai dan membuat keputusan rasional,” katanya.
Difahamkan, pemilih berbangsa Dayak di konstituensi Samalaju mencecah seramai 8,000 pengundi.-Borneo Post
Post a Comment