KUCHING: Kerajaan negeri bersedia campur tangan isu penempatan seorang ustaz sebagai pengetua Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Sungai Paoh di Sarikei jika ia memberi kebaikan semua pihak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, bagaimanapun beliau perlu meneliti perkara sudah menjadi isu dan viral media sosial itu terlebih dahulu.
“Saya akan mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai perkara ini sebelum membuat sebarang keputusan.
“Ya (campur tangan)..jika ia untuk kebaikan (semua pihak),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Anugerah Khas Ketua Menteri dan pelancaran Program HIPERS 2015 anjuran Yayasan Sarawak di sini, semalam.
Adenan mengulas mengenainya ketika ditanya isu penempatan seorang ustaz sebagai pengetua baharu SMK Sungai Paoh di Sarikei yang menjadi isu dan viral dalam media massa sekarang.
Majoriti pelajar di SMK Sungai Paoh berketurunan Iban serta beragama Kristian dan penempatan ustaz terbabit mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta pemimpin setempat.
Sementara itu, dalam ucapannya Adenan yang juga pengerusi Yayasan Sarawak berkata, berharap Sarawak ada suara dalam menentukan dasar pendidikan dilihat tidak begitu konsisten pada masa kini.
Katanya, Sarawak tidak mahu sekadar menjadi penerima dasar dirangka pihak lain tanpa mengira kepentingan rakyatnya sendiri.
“Kita mahukan suara kerana pada akhirnya, kita yang menanggung kesannya dan kita tidak mahukan sistem ‘flip-flop’ (tidak menentu). Tahun ini begini, tahun depan begitu, kemudian berubah lagi.
“Ibu bapa jadi keliru. Bersikap konsisten berhubung dasar tertentu supaya orang tahu hala tuju kita dan kita akan kekal konsisten,” katanya.
Beliau menjelaskan, kini ramai graduan yang menganggur di Malaysia kerana dua perkara.
Pertama kata Adenan, mereka mempunyai ijazah akademik yang tertakluk kepada kegunaan terhad, dan kedua, mereka tidak ada kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
“Salah satu dasar silap bagi saya ialah meningkat bahasa Malaysia dan mengetepikan bahasa Inggeris sedangkan kita sebenarnya dapat memperkasa kedua-dua bahasa pada waktu sama.
“Perkara ini tidak menjadi masalah di Sarawak. Semua orang di sini dapat bertutur sekurang-kurangnya dalam satu bahasa lain selain bahasa ibunda mereka malah tiga bahasa,” katanya.
Jelasnya memang terdapat program pemulihan, latihan semula dan sebagainya menempatkan mereka dalam pekerjaan agak berjaya juga, tetapi setiap tahun, graduan sentiasa bertambah.
“Kita perlu ada lebih banyak program berkaitan pendidikan teknikal dan sekarang SPM sahaja tidak mencukupi. Selain itu anda mesti membina kemahiran,” ujarnya.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.