Melalui Bersih 4, masyarakat Cina bandar menyatakan mesej mereka


SEKILAS PANDANG: Perhimpunan Bersih 4 yang baru sahaja selesai membangkitkan beberapa perkara yang berbaloi dibincangkan.

Pertama, majoriti peserta adalah masyarakat Cina bandar.

Dikenali sebagai golongan yang tidak sukakan konfrontasi, mereka ini yang majoritinya golongan kelas pertengahan jelas mengumpul keberanian daripada Bersih sebelum ini untuk menyertai perhimpunan aman kali ini.

Perhimpunan jalanraya tentunya bukan cara masyarakat Cina untuk menyelesaikan masalah. Pendekatan tradisi mereka adalah dengan berunding dengan parti politik.

Tidak seperti perhimpunan Bersih sebelum ini yang dipimpin masyarakat Melayu, kurangnya orang Melayu dalam Bersih 4 ini jelas kerana Umno dan paling utama Pas yang tidak menyertainya.

Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Tan Ah Chai dilaporkan berkata, Bersih 4 menunjukkan jurang di antara masyarakat Cina dan Melayu dalam konteks kebimbangan mereka terhadap masa depan negara.

“Masyarakat Melayu sedang keliru. Mereka juga tidak gembira dengan keadaan sekarang. Namun Umno sedang mengalami masalah dalaman, PAS berpecah dan PKR mempunyai beberapa masalahnya sendiri. Untuk memobilisasi masyarakat Melayu, parti politik masih diperlukan, bukannya NGO,” katanya seperti dipetik akhbar Sin Chew Daily.

Namun bagi masyarakat Cina, perkara sebaliknya berlaku apabila mereka semakin tidak bergantung kepada parti politik.

Peserta Bersih 4 mengambil inisiatif untuk hadir.

Generasi muda Cina tidak lagi berpuas hati untuk menjadi pemerhati apabila berkaitan isu nasional yang utama.

Penganalisis politik Profesor Ho Khai Leong pula berkata kepada Sin Chew Daily yang melalui Bersih 4, anda boleh melihat meningkatnya kesedaran di kalangan masyarakat Cina berhubung gerakan politik dan NGO.


Mereka telah mengatasi konservatisme dan ketidakpedulian dalam politik dalam diri mereka, serta rasa takut berlakunya pertembungan ketika perhimpunan.

Satu lagi perkara yang boleh diperkatakan adalah tindakan politikus pembangkang yang “menceroboh” perhimpunan.

Ada pemimpin pembangkang daripada DAP dan PKR yang telah memimpin peserta perhimpunan.Walhal Bersih sepatutnya melangkaui politik.

Matlamat Bersih adalah pilihanraya yang bebas dan adil, kerajaan yang bersih, hak bersuara, mengukuhkan demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi.

Bolehkah perubahan berlaku tanpa penyertaan masyarakat Melayu?

Jawapannya jelas.

Ini merupakan petanda bagi pembangkang untuk melangkah ke Putrajaya tanpa sokongan Melayu.

Kunjungan mengejut bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ada nilainya yang tersendiri, tetapi demokrasi memerlukan nombor.

Seorang lagi tokoh yang hadir di perhimpunan Bersih di luar negara adalah bekas presiden MCA Dr Ling Liong Sik, yang memimpin parti nombor satu masyarakat Cina itu dari 1986 hingga 2003.

Beliau hadir di perhimpunan di Perth, lengkap berbaju kuning.

Isterinya Ena Ling mengesahkan kehadiran Ling di Perth, apabila beliau memberitahu Nanyang Siang Pau yang beliau juga menyertai perhimpunan di KL.

MCA pada masa ini mungkin perlu bekerja lebih keras untuk sekali lagi mendakwa diri mereka sebagai wakil masyarakat Cina Malaysia.

Sementara editorial Sin Chew Daily menyeru kerajaan untuk melakukan reformasi, editorial Nanyang Siang Pau pula menegaskan kepentingan mengukuhkan “puak atas pagar”.

Kehadiran Mahathir – beliau sendiri tidak akan benarkan perhimpunan seumpama itu diadakan ketika eranya – menunjukkan tiada pendirian yang berkekalan buat politikus.

Sama juga dengan pengundi yang patut mengambil pendekatan sebegitu sebagai “puak atas pagar” tanpa perlu berpihak.

Dengan kata lain, kesetiaan mereka hanyalah kepada pihak yang bekerja untuk kebaikan negara.

Dengan menggunakan kuasanya sebagai golongan atas pagar, ia membuatkan mereka yang mentadbir sentiasa berjaga-jaga.

Mereka perlu berjaga-jaga setiap masa memandangkan sebarang salah guna kuasa boleh menyebabkan mereka disingkirkan.

Semakin ramai golongan atas pagar, semakin besar kuasa mereka untuk mengubah undi berdasarkan isu dan personaliti calon wakil rakyat, dan bukan berdasarkan parti mereka.

Dan dalam keadaan sekarang, perkara yang baik dan buruk ada dalam kedua-dua pihak politik – pemerintah dan juga pembangkang.-The Ant Daily (Lee Yuk Peng)
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget