Dakwaan NGO dibidas



CERIA: Adenan berkongsi cerita dengan Alley semasa IACC di Putra Jaya, semalam.

Adenan tepis cubaan Global Witness kaitkan Tun Taib dengan dakwaan rasuah; Sarawak turut buat beberapa perubahan dasar.

PUTRAJAYA: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem membidas dakwaan rasuah di Sarawak daripada Patrick Alley, Pengasas Bersama dan Pengarah Global Witness dari United Kingdom pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) di sini, semalam.

Beliau berbuat demikian ketika menepis soalan diajukan Global Witness dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain mengenai rasuah yang didakwa melibatkan bekas Ketua Menteri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Malahan, kata Adenan, Tun Taib pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tidak pernah didakwa.

“Kita diperintah oleh kedaulatan undang-undang. Salah satu kedaulatan undang-undang menyebut seseorang itu diandaikan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Untuk maklumat anda, beliau (Taib) pernah disiasat oleh SPRM dan kita tahu beliau tidak pernah didakwa. Saya percaya beliau sudah muncul dengan rekod bersih,” kata Adenan ketika menjawab soalan daripada Alley di Plenari Utama II Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Selain Alley, penceramah lain pada sesi tersebut adalah Daniel Kaufmann selaku Presiden Natural Resources Governance Institute, Kevin J. Jenkins selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) World Vision International Canada, Dr Peter Eigen selaku Pengasas Majlis Penasihat Pengerusi Transparency International, dan Monique Villa selaku CEO Thompson Reuters Foundation, United Kingdom.

Moderator sesi adalah Ron Dixon, Wartawan Washington dengan akhbar The New York Times dan Pengerusi Lembaga 100Reporters, USA.

Terdahulu dalam ucapannya, Adenan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkata beliau komited untuk membanteras pembalakan haram dan rasuah.

“Saya memerangi rasuah dengan cara yang saya tahu kerana kita mahu menghapuskan gejala ini, terutamanya dalam industri perkayuan.

“Sejak saya mengambil alih pentadbiran negeri Sarawak kira-kira 15 bulan lalu, beberapa perubahan telah dibuat pada dasar-dasar.

“Saya mahu menghentikan pencabulan hutan, saya mahu mengekang kemerosotan alam sekitar kita kerana ini ada kaitan dengan rasuah. Langkah pertama yang saya ambil adalah menghentikan pemberian konsesi balak. Tiada lagi, cukup sudah,” tegasnya.

Adenan turut menegaskan beliau sudah menyusun semula Jabatan Hutan, Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan memberi matlamat kepada mereka menerusi penguatkuasaan yang lebih ketat.

“Kami sudah memerangi pembalakan haram sehinggakan kami berjaya menutup lebih 30 kilang papan di seluruh negeri. Kami sudah menghentikan pengangkutan kayu balak haram dan sebagainya sehinggakan perkara ini sudah lumpuh dalam industri perkayuan,” jelasnya.

Adenan turut memberi jaminan beliau sudah mendapatkan kerjasama yang lebih erat daripada syarikat-syarikat pembalakan.

“Saya sudah menasihatkan syarikat-syarikat pembalakan besar, iaitu enam syarikat terbesar (The Big Six) agar berkelakuan baik, termasuk subsidiari, kontraktor mereka dan sebagainya dan sekarang saya sudah mendapatkan kerjasama mereka sepenuhnya,” katanya.

Adenan juga memberi jaminan kerajaan sedia bekerjasama dengan NGO jika mereka turut sedia untuk bekerjasama dan berkongsi maklumat mengenai rasuah.

“Saya juga memutuskan untuk tidak berperang sepanjang masa dengan NGO seperti Global Witness. Jika agenda kita sama, kenapa kita tidak dapat bekerjasama?

“Saya mahu mendengar agenda anda dan anda juga mendengar agenda kami. Dengan cara itu, kita dapat melangkah ke hadapan dan tidak melihat ke belakang.

“Jadi saya memerlukan bantuan NGO dan organisasi lain yang berminat dan mempunyai agenda sama dengan kami iaitu memelihara hutan kita dan menerokai sumber semula jadi secara mapan,” kata Adenan.

Beliau berkata, dasar baharunya sudah mencapai kejayaan tertentu.

Kenyataan terbuka Adenan bahawa beliau sedia untuk bekerjasama dengan NGO mendorong bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan untuk bertanya sama ada Sarawak sedia untuk bekerja dengan BERSIH dan NGO lain bagi memastikan akses kepada media dan pilihan raya yang adil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Ya kami bersedia, dengan syarat anda tidak bersama pembangkang.

“Anda juga tidak perlu bersama kami, anda hanya perlu bersikap objektif. Itu sahaja,” jawab Adenan kepada Ambiga.

Menjawab soalan Pengarah Eksekutif The Center To Combat Corruption and Cronyism, Cynthia Gabriel tentang larangan terhadap beberapa aktivis seperti Ambiga untuk memasuki Sarawak, Adenan berkata sesiapa yang bersikap sederhana dialu-alukan ke negeri ini.

“Kami menolak pelampau dan fanatik agama. Sarawak tidak akan membenarkan pelampau agama dan fanatik seperti Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan ahli akademik kontroversi Ridhuan Tee Abdullah untuk memasuki Sarawak.

“Rakyat Sarawak sudah hidup dengan aman dan harmoni dan kami tidak mahu diracuni oleh bisa orang-orang seperti ini. Selagi anda bersedia untuk bertolak ansur, kenapa tidak?” katanya.

Sementara itu pada satu sidang akhbar singkat, Adenan berkata beliau bersedia untuk membenarkan NGO memasuki Sarawak semasa PRN akan datang jika mereka bukan dari mana-mana parti pembangkang dan selagi mereka bersikap berkecuali.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sarawak berkata, jentera parti kini sudah bersedia tetapi enggan menyebut bila PRN akan diadakan.

- Borneo Post Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget