Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa pemimpin masyarakat, NGO dan orang awam untuk meningkatkan tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak supaya berundur.
Jika mereka berdiam diri, katanya, Najib akan terus kekal berkuasa sebagai perdana menteri.
Katanya, pendedahan Wall Street Journal mengenai dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi perdana menteri telah lebih sebulan berlalu.
Manakala pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah hampir dua minggu berlalu.
"Sekiranya rakyat berputus asa bahawa tiada apa yang mereka dapat lakukan, Datuk Seri Najib akan terus kekal berkuasa sebagai perdana menteri dan lebih banyak kerosakan akan berlaku.
"Sebab itu, saya ingin mengingatkan rakyat, NGO dan pimpinan masyarakat, tidak kira apa jua latar belakang, untuk mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan tekanan terhadap Datuk Seri Najib untuk berundur.
"Usaha untuk memastikan skandal-skandal besar tidak sejuk dan berlalu, perlu diteruskan dan inisiatif ini perlu dipikul oleh semua pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu, beliau sebagai ahli Parlimen Pandan dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akan menganjurkan solat hajat dan himpunan rakyat #selamatMalaysia dan #sokongSPRM di Padang Perbandaran Ampang Jaya esok dari jam 7.30 petang hingga 11 malam.
Rafizi (gambar) juga menyeru ahli Parlimen lain dan tokoh masyarakat bersama NGO untuk menganjurkan solat hajat yang sama di tempat masing-masing setiap minggu sehingga Najib meletak jawatan dan satu siasatan bebas disempurnakan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab bersabit skandal-skandal itu ke muka pengadilan.
"Majlis solat hajat dan himpunan rakyat seperti ini, jika diteruskan setiap minggu, akan membina gelombang rakyat menjelang Perhimpunan BERSIH4 yang akan diadakan hujung bulan ini," tegasnya.
Katanya, pimpinan parti politik yang akan hadir termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, pengarah pilihan raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan pengerusi penaja Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu.
- Malaysiakini
Post a Comment