Sedia dedah dana selepas bentang di Parlimen


SHAH ALAM – DAP sedia mendedahkan dana politik partinya sekiranya ada peraturan yang mengkehendaki pihaknya berbuat demikian, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Beliau berkata, saranan itu hanya akan disambut sebaik perkara itu sudah dibahas di Parlimen terlebih dahulu.

“Kita tidak ada masalah untuk menyokong pembaharuan (peraturan) itu. Tetapi bawalah dulu ke Dewan Rakyat dan buat peraturan,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu lagi, pihaknya tidak akan mendedahkan sumber dana mereka hanya atas sebab tuntutan parti lain.

“Saya rasa kerajaan BN cuba untuk alih isu yang berlaku dengan menuntut kita dedahkan. Sedangkan isu yang ditimbulkan adalah wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Mereka (BN) sedaya upaya untuk alihkan perhatian umum mengenai isu itu kerana sudah tidak boleh jawab dengan persoalan yang ditimbulkan,” katanya.

Najib sebelum ini berkata, akan mencadangkan semula usaha mewujudkan peraturan yang mengehendaki parti politik mendedahkan senarai sumber dana politik yang diterima bagi membiayai pergerakan mereka.

Katanya, cadangan itu bagi membolehkan parti politik bersikap lebih telus dan jujur dalam pengurusan dana serta sumber yang diperolehi, walaupun sebelum ini ditolak oleh pembangkang khususnya DAP.

Menurut Anthony, perdana menteri patut mendahului cadangan itu dengan mendedahkan siapa penderma RM2.6 bilion itu.

“Bukan sahaja kita hendak tahu, tetapi orang Umno sendiri juga nak tahu malah semua rakyat tertunggu-tunggu siapa penderma itu,” katanya.

Kelmarin, sekutu DAP, PKR turut menyatakan kesediaan untuk mendedahkan sumber dana politik mereka kerana perkara itu telah pun diamalkan pada kongres tahunan mereka.

- Sinar Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget