LIMBANG: Kerajaan diminta mempercepat pembinaan Jambatan Timbang di hulu Pandaruan dan Medamit bagi menangani masalah kerosakan jalan agak kritikal terutama jalan menuju Kampung Hulu Lubai akibat lori pengangkut balak serta kenderaan lebih muatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, usaha membaiki jalan rosak di kawasan terbabit tidak akan dapat dilakukan selagi jalan itu diguna lori pengangkut balak dan kenderaan lebih muatan meskipun ia kerap dibaik pulih sebelum ini.
“Selain lori balak, ada lori lain membawa muatan lebih daripada sepatutnya yang membawa kerosakan terhadap jalan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan ke rumah terbuka Hari Raya Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) yang juga Naib Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kota Mohamad Abu Bakar di Seberang Kedai kelmarin.
Turut hadir ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan isteri Dayang Maimunah Awang Mohd Daud,isteri Paulus Mary Sindang, isteri Mohamad Asmah Yassin dan pengamal media.
Paulus berkata lagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) belum dapat menguatkuasakan undang-undang memandangkan di kawasan tersebut belum mempunyai kemudahan Jambatan Timbang.
“Dulu memang ada rancangan untuk membina Jambatan Timbang di Medamit,kita berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin. Ini penting supaya bukan sahaja di Hulu Pandaruan tetapi di Jalan Medamit jalannya akan sentiasa baik,”katanya.
Sementara itu kerajaan katanya, melaksana beberapa langkah alternatif dengan membina sistem graviti dan air ditapis bagi kawasan dan rumah panjang di konstituensinya yang belum menikmati kemudahan bekalan air luar bandar.
“Manakala terdapat beberapa kawasan masih tidak dapat diliputi bekalan elektrik membabitkan kawasan Sungai Mendalam, Rumah Jampong, Rumah Bala di Entakong kerana hanya dapat dihubungi melalui jalan sungai selain Rumah Lawai dan Long Napir yang terletak agak jauh,”ujarnya.
Jelasnya beliau akan berusaha melaksana kemudahan bekalan elektrik dan air untuk dipohon dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di kawasannya.
Beliau berkata pelbagai program turun padang dilaksana sepanjang masa di bawah Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) ke rumah panjang yang akan diteruskan sehingga menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Sementara itu Dr Rahman ketika ditemui pada program sama berharap agar masa operasi di Pos Imigresen di sempadan daerah ini dapat dipanjangkan khususnya sempena pelaksanaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri dan Pesta Limbang hujung bulan ini.
Sebelum ini Kerajaan Malaysia dan Brunei sudah bersetuju untuk melanjutkan waktu operasi di sempadan Malaysia Brunei dari jam 10 malam hingga 12 tengah malam yang kini dalam peringkat kajian.
Dr Rahman turut menyasarkan lebih 10,000 pengunjung akan memeriahkan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri dan Pesta Limbang.
“Disasar lebih 10,000 pengunjung akan memeriahkan program itu dan kita mengalu-alukan pengunjung datang dan menyaksikan keunikan Limbang yang bersempadan dengan Brunei, selain berhampiran Sabah dan Wilayah Pesekutuan Labuan,”katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment