KUALA TERENGGANU : Penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) cuma wayang Datuk Seri Najib Razak dan tiada nilai.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ia biasa dilihat dalam pentadbiran Perdana Menteri itu untuk mengaburi mata rakyat.
“Contohnya, janji untuk mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi diganti dengan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), dengan duit masuk akaun peribadi, tukar pegawai kerajaan dan beberapa kes lain.
“Sekarang, buat konsultatif tetapi masalah tidak seleasai dan tiada integriti, maka tak bernilai jawatankuasa itu,” katanya dalam sidang media pada Jelajah Amanat Presiden peringkat Terengganu di Hotel Grand Continental, semalam.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata jawatankuasa berkenaan hanya lawak jenaka Najib untuk menutup kepincangannya.
“Buat mesyuarat hapuskan rasuah, tetapi dia sendiri yang makan rasuah,” katanya.
Jawatankuasa itu akan merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif, khususnya untuk menentukan proses konsultatif di semua peringkat dan mengambil kira pandangan semua pihak.
JKNMPP akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Paul Low manakala seorang lagi Menteri di JPM, Datuk Seri Idris Jala sebagai timbalannya.
- Selangor Kini
Post a Comment