photo credit to rakyatnews.my |
Sidang kemuncak yang julung-julung kali diadakan di Myanmar selepas negara ini menyertai ASEAN pada 1997 itu, akan bermula esok dengan perhatian khusus kepada Pelan Hala Tuju Komuniti Asean menjelang tarikh akhir misi itu.
Najib akan diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Ini adalah lawatan kedua Perdana Menteri ke Myanmar sejak mengambil alih jawatan pada April 2009.
Pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan telah memulakan tugas menyusun agenda bagi sidang kemuncak selama dua hari bertema "Moving Forward to a Peaceful and Prosperous Community (Melangkah Ke Arah Komuniti yang Aman dan Makmur)".
Najib dijadualkan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Presiden Myanmar, U Thein Sein, untuk mengalu-alukan Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN, serta perasmian Sesi Plenari dan Permukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-24.
Semasa sidang kemuncak itu, pemimpin-pemimpin dijangka menerima Perisytiharan Nay Pyi Taw mengenai usaha merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang 2015, dan terma rujukan Setiausaha Agung Asean sebagai penyelaras Bantuan Kemanusiaan ASEAN.
Pemimpin-pemimpin itu juga akan memberi perhatian kepada lima dokumen, iaitu Laporan Majlis Komuniti Keselamatan Politik ASEAN; Laporan Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN; Laporan Majlis Komuniti Sosial dan Budaya ASEAN; Laporan Setiausaha Agung ASEAN mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-24 dan Usaha ASEAN; dan Laporan Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN.
Perisytiharan Nay Pyi Taw, antara lain, memberikan penekanan kepada pelaksanaan garis tindakan yang belum diambil di bawah Pelan Hala Tuju Komuniti ASEAN.
Ia juga akan membahaskan perumusan dokumen pengganti bagi visi Pelan Hala Tuju Komuniti ASEAN Selepas 2015, dan mengulangi komitmen ASEAN terhadap usaha kolektif bagi pewujudan pasaran dan pangkalan pengeluaran tunggal.
Perisytiharan ini akan memperkemas mekanisme hubungan luar ASEAN dengan rakan dialognya, pertubuhan serantau dan perkumpulan ekonomi.
Pada masa sama, ia akan menggandakan usaha ke arah menggalakkan penyertaan yang lebih luas daripada kumpulan sasaran seperti wanita, kanak-kanak dan kumpulan mudah terdedah, dalam kegiatan ASEAN agar mereka meraih manfaat daripada proses penyepaduan.
Malaysia menjangka untuk meletakkan asas bagi pewujudan Visi Komuniti ASEAN Selepas 2015, di samping meningkatkan dan memperkukuh semangat kerjasama dan perpaduan Asean semasa sidang kemuncak itu.
Wisma Putra menyatakan Malaysia juga dijangka bekerjasama rapat dengan Myanmar mengenai usaha yang sedang dijalankan oleh pasukan petugas peringkat tinggi untuk memperkasa Sekretariat ASEAN (ASEC) serta mengkaji semula lidah rasmi ASEAN.
Malaysia juga menyuarakan keyakinan terhadap peranan utama yang akan dimainkan oleh Myanmar dalam mewujudkan suasana bagi perbincangan awal mengenai dokumen-dokumen yang membawa kepada pembinaan Komuniti ASEAN.
Najib akan juga menghadiri beberapa pertemuan luar acara dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen Asean(Aipa), Pertubuhan Masyarakat Sivil, belia ASEAN, Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-10 dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-8.
Sementara itu, pada Sesi Plenari pemimpin-pemimpin itu dijangka membuat cadangan penambahbaikan kepada kemajuan pelaksanaan pelan hala tuju bagi Komuniti ASEAN, Pelan Kerja II Inisiatif Penyepaduan ASEAN (IAI) dan Pelan Induk mengenai Kesalinghubungan Asean (MPAC).
Selain itu, mereka juga akan membincangkan masa depan Komuniti ASEAN, hubungan luar negara dan hala tuju masa depan bagi perkumpulan serantau ini.
Dalam Sesi Permukiman nanti, pemimpin-pemimpin ASEAN akan bertukar-tukar pandangan tentang isu-isu serantau dan antarabangsa.
ASEAN atau Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara yang ditubuhkan pada 1967 itu, menggabungkan Brunei Darussalam, kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam.- rakyatnews.my
Post a Comment