Lelaki disyaki Pengganas ditahan

KUALA LUMPUR 8 Mei - Seorang lelaki warga Somalia yang disyaki anggota kumpulan pengganas Al-Syabab, ditahan dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, suspek berusia 34 tahun itu turut berada dalam senarai nama dikehendaki polis antarabangsa (Interpol) kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan susulan ke atas suspek untuk mengenal pasti sama ada terdapat rangkaian anasir-anasir pengganas Al-Syabab yang mungkin bersembunyi atau menjalankan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan Malaysia.

"Suspek disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, menurut sumber keselamatan, dalam operasi tersebut, tiada senjata dirampas dan polis masih menyiasat cara suspek masuk dan sekiranya terdapat anggota lain daripada kumpulan tersebut di negara ini.

Katanya, suspek ditangkap kerana dikhuatiri akan merekrut warga Somalia di negara ini yang kebanyakannya menuntut di ins­titusi pengajian tinggi (IPT) dengan fahaman pengganas.

"Kita juga bimbang jika suspek menjalin hubungan dengan militan tempatan dan mewujudkan rangkaian anasir pengganas di negara ini. Setakat ini, kumpulan itu aktif di negara Afrika," ujar beliau yang memberitahu, Al-Syabab adalah kumpulan yang bertanggungjawab mengebom sebuah pusat beli belah di Nairobi, Kenya, tahun lepas.

Beliau turut memberitahu, polis mengharapkan sumber maklumat daripada perisik antarabangsa kerana Somalia merupakan sebuah negara yang masih belum aman sepenuhnya.

Al-Syabab yang berpangkalan di Somalia pernah menyertai kumpulan pengganas, Al-Qaeda pada 2012 dengan bermatlamat menegakkan undang-undang syariah atau negara Islam di beberapa buah negara miskin.

Sehingga kini, Al-Syabab dianggarkan mempunyai keahlian antara 4,000 hingga 6,000 orang.-utusan online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget