SEORANG pengurus syarikat ternakan ikan warganegara China diculik oleh sekumpulan lelaki berpakaian celoreng dan bersenjata api dalam satu kejadian di perairan Pulau Baik, berhampiran Silam, Lahad Datu, Sabah pagi semalam.
Dalam insiden pada jam 2.45 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Yang Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhao, China dilarikan oleh suspek menuju ke selatan Pulau Simutu, Filipina.
Untuk rekod, jarak antara lokasi kejadian dan Silam ialah kira-kira 1.5 kilometer dengan mengambil masa selama 20 minit dari Bandar Lahad Datu.
Ia merupakan kes penculikan kedua membabitkan warganegara China dalam tempoh sebulan tahun ini selepas kali terakhir di Singamata Reef, Semporna membabitkan seorang penuntut universiti wanita dari Shanghai pada 2 April lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, kejadian berkenaan berlaku di sebuah pusat ternakan ikan Syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd yang dipercayai dimiliki oleh warganegara Hong Kong.
Menurut beliau, ketika kejadian lima lelaki terbabit dengan dua daripada mereka berpakaian celoreng memegang senjata api dipercayai M16 telah menyelinap masuk menggunakan sebuah bot ke bilik kediaman pekerja di pusat ternakan itu.
Tambahnya, kelima-lima suspek menendang pintu salah seorang pekerja wanita lalu bertanyakan lokasi bilik pengurus di situ.
“Suspek bertindak menendang bilik pintu pekerja wanita itu dan pengurus (mangsa) yang berada bersebelahan bilik dalam keadaan terperanjat lalu keluar memeriksa.
“Bagaimanapun, suspek telah menangkap mangsa lalu melarikannya menggunakan bot,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, semalam.
Turut hadir adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Senior Asisten Komisioner Omar Mamah.
Hamza berkata, sepasukan anggota Polis Marin dan Unit Tindakan Khas (UTK) yang dimaklumkan berhubung insiden itu telah terserempak dengan bot dinaiki suspek pada kira-kira jam 6.20 pagi berhampiran perairan Pulau Mataking, Semporna.
Beliau turut mengesahkan berlaku insiden berbalas tembakan antara pihak keselamatan dan suspek sehingga menuju ke Alice Reef (sempadan Malaysia-Filipina).
“Bagaimanapun, sekitar jam 7.20 pagi, kelima-lima suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan Salowak, selatan Pulau Simutu, Filipina dan mengakibatkan pasukan keselamatan kita terpaksa berundur.
“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada rakan sejawat di negara jiran bagi tindakan lanjut selain memburu suspek yang terlibat,” katanya.
Hamza berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek adalah berusia 30 hingga 50 tahun dan motif awal mengenai insiden itu adalah berdasarkan ‘Kidnap for Ransom” (KFR) atau culik untuk wang tebusan.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api Lebih Berat.
Sementara itu, Hamza berkata, seramai 19 individu yang merupakan pekerja pusat ternakan ikan itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan pengurus warganegara China terbabit.
Siasatan awal mendapati 11 individu terbabit adalah berbangsa Suluk, manakala lapan lagi bangsa Timor dengan 11 daripada yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen sah.
Beliau, kesemua individu itu ditahan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu dan seterusnya membantu siasatan kes.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan sama ada wujud petualang atau dalang di kalangan orang dalam berhubung kes ini.
“Bagaimanapun setakat ini, polis mengesahkan tiada tangkapan ke atas suspek dilakukan sementara siasatan terperinci masih giat dilaksana,” katanya.
Mengulas lanjut insiden berbalas tembakan, Hamza berkata tiada kecederaan dilaporkan berlaku membabitkan tiga bot yang dinaiki oleh sepasukan anggota Polis Marin dan UTK.
“Tiada sebarang kecederaan berlaku ketika tiga bot Polis Marin dan UTK kita terserempak dengan bot dinaiki suspek di Pulau Mataking yang seterusnya membawa kepada insiden berbalas tembakan,” katanya.-utusan borneo
Post a Comment