Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli kerana memfitnah.
Pengerusi LTAT Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, adalah jelas dakwaan serta tuntutan yang dibuat Rafizi adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat serta bertujuan untuk memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.
“Oleh itu, sekali lagi ditegaskan, tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan Rafizi, dan LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau,” kata Mohd Anwar dalam satu kenyataan pada petang Isnin.
Beliau berkata adalah tidak munasabah dan tidak logik untuk membandingkan jumlah pembayaran gratuiti yang dibuat sepanjang tahun dengan baki tunai pada akhir tahun 2014.
“Baki akhir tahun bagi tahun 2014 berjumlah RM561.5 juta adalah baki setelah LTAT membuat semua bayaran termasuk bayaran kepada pencarum-pencarum yang mengeluarkan caruman di sepanjang tahun sehingga tarikh laporan.
“Sepanjang tahun 2014, LTAT telah membuat pembayaran pengeluaran caruman berjumlah RM982.9 juta kepada pencarum yang tamat perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Menurut beliau, bagi tahun kewangan 2014, LTAT juga mencatatkan keuntungan sebanyak RM1.015 bilion.
“Pada tahun yang sama juga LTAT telah membayar dividen sebanyak 15% dan telah membelanjakan sebanyak RM19 juta untuk membiayai tanggungjawab sosial korporatnya,” katanya.
Ini termasuk aktiviti-aktiviti pemberian biasiswa untuk anak-anak anggota ATM, bantuan sara hidup, sumbangan kepada Tabung Hari Pahlawan dan Badan-Badan Kebajikan KEMENTAH, pembinaan Marhallah LTAT di UIAM, Gombak dan bantuan-bantuan lain untuk warga ATM dan veteran ATM yang layak.
Menurut Mohd Anwar, pembayaran 1Malaysia Development Berhad kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) telah dibayar mengikut jadual.
“PPHM yang menjadi kontraktor turnkey untuk 1MDB projek PUKL pula telah membayar semua sub kontraktor atas jumlah yang ditetapkan mengikut kontrak,” katanya.
Beliau berkata, LTAT turut menyemak rekod 110 pencarum dan status bayaran masing-masing yang didakwa tidak menerima bayaran gratuiti mereka.
Katanya, seramai 70 pencarum telah menerima bayaran antara 16 Mac dan 4 April 2016 dalam tempoh 24 jam setelah LTAT menerima dokumen lengkap dan diluluskan dari Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT).
Jelas Mohd Anwar, dokumen dari 23 pencarum diterima LTAT pada 4 April dengan 16 dokumen masih belum diterima dari UGAT.
Menurut beliau, bayaran akan dibuat dalam tempoh 24 jam dari tarikh penerimaan dokumen yang lengkap dan diluluskan dari UGAT.
Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR sebelum ini mendedahkan bahawa baki tunai LTAT hanya berjumlah RM569 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.
- BNBBC
Post a Comment